Bentangkan RUU penggal tetap Parlimen Mac ini – Projek SAMA

Bentangkan RUU penggal tetap Parlimen pada Mac ini – Projek SAMA

KERAJAAN perlu membawa isu kelompongan akta antilompat parti ke Parlimen untuk diselesaikan tanpa perlu membentangkan undang-undang baharu jika mahu menjamin kerajaan yang stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan memperjuang reformasi institusi melalui Projek – Kestabilan dan Akauntabiliti Untuk Malaysia (Projek SAMA), menggesa kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Parlimen Berpenggal Tetap pada mesyuarat Parlimen yang dijadualkan pada Mac depan.

Sehubungan itu, menurut Projek SAMA, kerajaan harus memulakan rundingan awam supaya RUU itu boleh dibentang dan diluluskan di Parlimen.

“Dengan undang-undang ini, kerajaan tidak akan terganggu oleh gerak politik seperti Langkah Dubai.

“Bukan sahaja kerajaan, masyarakat sivil, perniagaan dan setiap rakyat Malaysia boleh merancang kerja dan rencana mereka untuk empat tahun akan datang.

“Jika Parlimen ke-15 akan dibubar secara automatik pada 18 Disember 2027, maka, PRU-16 dijangka boleh berlangsung sekitar Februari 2028.

“Kalendar pilihan raya tetap bukan sahaja ciri dalam demokrasi Presiden dan separuh Presiden seperti Indonesia dan Taiwan, tetapi juga semakin popular di negara demokrasi berparlimen seperti Norway, Sweden dan Australia,” katanya.

Akta Parlimen Berpenggal Tetap adalah antara perkara yang terkandung dalam manifesto gabungan politik Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 dan salah satu pembaharuan yang diseru oleh 33 NGO dan 52 individu dalam perutusan tahun baharu 2024 dimulakan oleh Projek SAMA pada Disember tahun lalu.

Mereka juga menuntut kerajaan menggubal undang-undang untuk Dana Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama, akta pembiayaan politik dan mereformasikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

Mengulas lanjut, projek SAMA berkata, penyalahgunaan surat akuan bersumpah (SD) adalah eksploitasi kelompongan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 43 mengenai kaedah untuk memastikan keyakinan Parlimen terhadap kerajaan atau kehilangannya.

“Kami berpendapat, pengiraan SD oleh ahli parlimen adalah cara yang licik dan tidak demokratik dalam membentuk dan atau memecat satu kerajaan.

“Sebarang pembentukan atau pemecatan kerajaan harus berlaku dengan cara yakin dan bekal undi melalui pengundian di Dewan Rakyat yang mana ahli Parlimen boleh membuang undi secara terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN