Usul penggal tetap Parlimen umpama belakangkan kuasa Agong

Usul penggal tetap Parlimen umpama belakangkan kuasa Agong

NIK AHMAD KAMAL NIK MAHMOOD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap Parlimen seolah-olah membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen walaupun ia bertujuan memastikan kerajaan terus kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan.

Malah, negara seperti United Kingdom (UK) yang pernah me­laksanakan Akta Penggal Tetap Parlimen pada 2011 kemudian mengambil keputusan membatalkan hanya selepas lapan tahun dikuatkuasakan selepas undang-undang itu tidak berupaya menjamin kestabilan kerajaan.

PREROGATIF

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Gover­nans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, selama ini tugas membubarkan Parlimen merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang memberi kuasa kepada Seri Paduka menerima atau menolak permintaan Perdana Menteri selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, jika Akta Penggal Tetap Parlimen dilaksanakan, maka ia mengurangkan satu lagi peranan Agong untuk membubarkan Parlimen seperti amalan sebelum ini.

“Selain itu, tiada lagi laluan membubarkan Parlimen walaupun kerajaan ketika itu tidak stabil. Hal ini kerana dengan kuat kuasa akta ini, maka kerajaan hendak terus berkuasa sehingga genap lima tahun.

“Berbanding sekarang jika berdepan masalah ketidaktentuan politik, Perdana Menteri boleh menghadap Agong untuk memohon membubarkan Parlimen. Jadi terserah kepada perkenan Seri Paduka untuk memperkenan atau tidak kerana ia merupakan budi bicara baginda,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyarankan satu RUU Penggal Tetap Parlimen dirangka agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum seterusnya diadakan.

Beliau berkata, langkah itu juga dapat menjamin kestabilan negara kerana kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Penetapan penggal Parlimen bermaksud tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan undang-undang di mana Dewan Rakyat tidak boleh dibubarkan sebelum tarikh ditetapkan undang-undang.

DIPINDA

Sebelum ini, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah mencadang­kan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memastikan tempoh lima tahun diadakan pilihan raya umum, sekali gus mewujudkan tempoh tetap bagi Parlimen.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Ka­mal berkata, akta itu belum menjamin kestabilan kerajaan dan politik negara apabila UK memansuhkan selepas beberapa lama menguatkuasakan setelah berdepan pelbagai masalah khususnya ketika mahu membubarkan Parlimen sebelum genap lima tahun.

“Ketika itu UK berdepan masalah membubarkan Parlimen, apabila Dewan Bawahan (Parlimen) hanya boleh dibubarkan dengan dua kaedah iaitu selepas mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen atau kerajaan hilang kepercayaan.

“Perdana Menteri UK, Boris Johnson (ketika itu) telah berdepan kesukaran membu­barkan Parlimen kerana kewujudan akta ini walaupun ingin mengadakan pilihan raya sebelum genap lima tahun. Jadi dia tiada pilihan membawa usul pembubaran Parlimen untuk mendapat persetujuan dua pertiga anggota Parlimen termasuk dalam kalangan pembangkang.

STABIL

“Akhirnya negara berkenaan memansuhkan akta itu kerana kekangan itu walaupun sebelum itu merasakan ia baik untuk menjamin kestabilan kerajaan,” katanya.

Menurut Nik Ahmad Kamal, Akta Penggal Tetap Parlimen tidak bermakna kerajaan tidak boleh bertukar memandangkan undi tidak percaya masih wujud sekali gus menunjukkan Perdana Menteri boleh bertukar di tengah penggal.

Sebaliknya kata beliau, undang-undang itu hanya memperuntukkan bahawa pilihan raya tidak boleh diadakan sebelum genap lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN