Ketatkan Akta Lompat Parti bukan gubal RUU baharu

Ketatkan Akta Lompat Parti bukan gubal RUU baharu

perlembagaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Lompat Parti perlu diketatkan bagi menjamin kestabilan politik negara berbanding mewujudkan rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan penggal tetap Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, akta baharu itu tidak wajar dilaksanakan kerana politik ketika ini berasaskan landskap serta perubahan ekonomi.

Justeru menurut beliau, Akta Lompat Parti perlu diketatkan bagi mengekang sebarang cubaan untuk menukar kerajaan walaupun akta itu sudah diwartakan.

“Kita perlukan kestabilan politik. Kalau mahu ubah, berapa kali tukar kerajaan? Sebelum ini empat orang angkat sumpah sebagai Perdana Menteri di depan Yang di-Pertuan Agong yang sama, purata seperti setahun sekali tukar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September 2022.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan satu RUU penetapan penggal Parlimen digubal agar pembentukan kerajaan kekal hingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum seterusnya.

Beliau membuat cadangan itu dengan alasan untuk menjamin kestabilan negara supaya kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Susulan itu, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta tersebut.

Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporKAN berkata, cadangan mewujudkan RUU berkenaan bukan menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kerajaan bagaimanapun perlu meneliti setiap aspek untuk lebih mengawal ahli parlimen beralih sokongan terutamanya membabitkan aspek denda kepada mereka yang terlibat.

“Namun ia mungkin boleh menimbulkan masalah baharu. Contoh parti saya banyak duit, bayar ahli Parlimen, maka keluarlah parti dan menubuhkan kerajaan dengan harga berbilion,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. P. Sivamurugan dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan, ikatan seseorang indvidu kepada parti politik sebelum menjadi calon perlu dihormati sekali gus dapat mengelakkan ahli Parlimen beralih sokongan.

Menurutnya, ada parti yang sudah membuat keputusan lebih awal ketika memilih calon mereka sama ada untuk bersetuju dengan apa sahaja keputusan dibuat oleh parti atau memberi mandat tersebut kepada presiden parti dan akan menjadi satu keputusan bersifat konsensus.

“Bermakna jika mereka itu tidak bersetuju dengan syarat itu, dari awal lagi sepatutnya tidak menerima tawaran menjadi calon, seterusnya selepas menang saya percaya mereka tidak boleh mengubah pendirian tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN