PN akan buat laporan polis tuduhan J-KOM – Shahidan

PN akan buat laporan polis tuduhan J-KOM – Shahidan

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) akan membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop yang mendakwa wujud usaha dalam kalangan pemimpin parti pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pendedahan J-KOM itu kononnya wujud Langkah Dubai disifatkan tidak berasas sama sekali dan hanya boleh mewujudkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Dalam masa sama, Shahidan juga menyeru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memecat Timbalan Ketua Pengarah J-KOM ini yang dilihat tidak berfungsi.

PENGKHIANAT

“Kita akan buat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Pengarah J-KOM ini yang turut menuduh kita pengkhianat, penderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong. TindakanTimbalan Ketua Pengarah J-KOM ini hanya mewujudkan ketegangan sahaja.

“Hendak negara aman, Perdana Menteri pecat saja Timbalan Ketua Pengarah J-KOM ini,” katanya di sini semalam.

Shahidan turut mempersoal mengenai apakah yang dimadsudkan dengan Langkah Dubai.

“Saya lihat semula apa itu Langkah Dubai, saya periksa dengan kawan-kawan saya tidak ada yang pergi Dubai, pergi tempat lain. Ada yang pergi London, adalah Langkah London. Dulu Langkah Sheraton, saya sendiri ada di situ, mana ada langkah apa-apa.

“Majlis malam itu, pergi makan-makan akhirnya dikatakan jadi langkah. Siapa pun tidak berucap pada malam itu di She­raton,” katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terbabit dengan sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan atau gerakan yang dipanggil sebagai Langkah Dubai itu.

Pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bera itu, Afifi Aris berkata, Ismail Sabri tidak terkait dengan teori ‘dongeng’ seperti mana yang didakwa.

Katanya, Ismail Sabri ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah dan sempat bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sana.

“Saya menjadi saksi kami semua tinggalkan seketika perihal politik negara dengan tumpuan mencari keredhaan Ilahi dengan menunaikan ibadah wajib dan sunat untuk meraih pahala berganda.

“Dengan izin Allah SWT, Masjidil Nabawi di Madinah al Mukaramah menjadi saksi, dua sahabat akrab dipertemukan,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN