Persiapan kahwin terjejas akibat bah

Persiapan kahwin terjejas akibat banjir

SULONG Hasan (kanan) bersama ahli keluarga membersihkan rumah setelah banjir surut di Kampung Kepah, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Persiapan sebuah keluarga di Kampung Kepah, dekat sini untuk mengadakan kenduri kahwin Sabtu ini terbantut apabila rumah mereka dilanda banjir, semalam.

Sulong Hasan, 69, berkata, rumahnya dinaiki air kira-kira 0.5 meter sekali gus menyebabkan kerja-kerja pemasangan kanopi dan pelamin bagi perkahwinan anaknya ditangguhkan.

Air mula surut awal pagi hari ini, dia sekeluarga sedaya-upaya memerah keringat membersihkan rumah agar segalanya lancar pada hari pernikahan anaknya, Masuze Mohd. Yusof, 39, nanti.

“Sepatutnya kerja pemasangan pelamin dan kanopi dilakukan semalam tetapi tidak dapat dilakukan kerana rumah ditenggelami banjir.

“Saya sekeluarga hanya ada masa dua hari untuk lakukan persiapan menjelang tarikh kenduri.
“Walaupun air surut, namun melihat keadaan cuaca, hati saya sebagai ibu tetap berdebar dan bimbang andai banjir berlaku lagi.

“Awal pagi hari ini (semalam) kami sekeluarga segera bersihkan rumah terutamanya di kawasan ruang tamu yang menjadi tempat untuk pengantin bersanding atas pelamin,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Kata Sulong, kerja-kerja pemasangan kanopi serta pelamin dijangka dilakukan hari ini.
“Jangka masa singkat untuk mengemas rumah mengakibatkan saya sekeluarga sedikit kelam-kabut,” ujarnya.

Katanya lagi, dia kini hanya mampu berdoa serta tawakal agar akad nikah dan kenduri majlis kahwin dapat dilangsungkan dengan sempurna nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN