PETALING JAYA: Banjir di Selangor mulai pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan pagi ini, manakala bilangan mangsa di Perak meningkat sedikit.
Di Selangor, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang menurun kepada 16 orang daripada 10 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 309 orang daripada 150 keluarga, malam tadi.
Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mangsa yang masih berada di PPS melibatkan enam lelaki dan 10 perempuan termasuk dua bayi.
Sementara itu, di Perak, jumlah mangsa yang masih berlindung di PPS Dewan Bandaran Gopeng di daerah Kampar sejak 20 Jun lalu meningkat kepada 52 orang daripada 16 keluarga berbanding 51 orang daripada 16 keluarga, malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di PPS berkenaan berikutan kawasan kediaman di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila terputus hubungan susulan jambatan runtuh akibat kejadian kepala air. – UTUSAN










