KUALA LANGAT: Lebih 3,000 penduduk di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini terjejas selepas kediaman dan laluan utama di kawasan itu dilanda banjir susulan ban Sungai Langat pecah kelmarin.
Kejadian itu dilaporkan terjadi selepas sebuah ban dekat kunci air di kawasan berkenaan pecah kira-kira pukul 10.30 malam sebelum air melimpah masuk ke kawasan perkampungan tersebut.
Seorang penduduk, Mohd. Fadil Md. Safi, 41, berkata situasi banjir itu tidak dijangka dan dibimbangi bencana tersebut akan berlarutan lebih seminggu kerana ban pecah mencetuskan bah termenung.
“Kalau setakat hujan, tiada banjir akan tercetus walaupun semalam hampir seharian hujan dari tengah hari hingga ke malam. Tetapi, apabila disebabkan ban pecah memang air Sungai Langat melimpah dan menyebabkan rumah penduduk tenggelam.
“Mula-mula ia melimpah di kawasan ladang kelapa sawit. Kemudian sekitar pukul 3.30 pagi tadi ia mula masuk ke kawasan rumah. Pukul 6.30 pagi, rumah kami sudah tenggelam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sehingga pukul 11.30 pagi, jalan-jalan utama di perkampungan tersebut dilihat sudah pun digenangi air walaupun cuaca cerah ketika ini susulan limpahan air dari Sungai Langat yang berada pada paras amaran, 4.18 meter.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sana, Noor Hazmir Muhamad, 47, memberitahu, penduduk berharap tiada kejadian air pasang besar kerana akan memburukkan lagi keadaan.
Katanya, bencana tersebut dikhuatiri akan mengganggu kira-kira 21,000 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Langat di Bukit Changgang sekiranya ban pecah itu tidak dibaik pulih segera.
“Kita kesan ban pecah selepas pemantauan oleh JPKK malam tadi dan sudah pun memaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk baik pulih. Namun, banjir mula melimpah ke kawasan kampung kira-kira dua jam kemudian.
“Itu yang ramai tak jangka boleh banjir, sebab ban pecah. Bagaimanapun, sekarang sedang berjalan projek naik taraf ban di kampung ini yang bernilai RM4 juta. Kita harap selepas itu tiada lagi kejadian sama berulang,” jelasnya.
Katanya lagi, kejadian banjir pernah berlaku pada 2012 akibat ban pecah, kemudian berulang pada 2022 yang menyebabkan hampir keseluruhan kawasan kampung tenggelam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menasihatkan penduduk di kawasan terjejas seperti di kawasan tersebut dan Taman Langat Utama supaya berpindah susulan air naik sehingga satu meter. – UTUSAN










