PETALING JAYA: Pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang sehingga kelmarin hanya mencatatkan jumlah pendaftar seramai 1,367,324 berbanding sasaran 29.8 juta orang memperlihatkan ada stigma menebal dalam kalangan rakyat terhadap inisiatif kerajaan tersebut.
Jumlah daftaran hanyalah kira-kira 4.7 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang perlu mendaftarkan diri dalam sistem berkenaan.
Berdasarkan kemas kini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hanya lima negeri berjaya melepasi angka 100,000 pendaftaran selepas 20 hari sistem PADU dilancarkan iaitu Selangor dengan 262,677 pendaftar; Sarawak (164,179); Johor (160,433); Perak (121,032) dan Sabah (110,087).
Selain itu, negeri yang mencatatkan jumlah pendaftaran bawah 100,000 adalah Kedah iaitu 87,315; Kuala Lumpur (81,617); Kelantan (73,559); Pulau Pinang (70,217); Pahang (66,624); Negeri Sembilan (63,756); Terengganu (58,165); Melaka (42,133); Perlis (14,637); Putrajaya (6,732) dan Labuan (3,931).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, berdasarkan perkembangan jumlah pendaftar yang dikongsikan DOSM menunjukkan kemajuan pendaftaran rakyat ke dalam sistem PADU amat perlahan.
Menurutnya, ia memperlihatkan terdapat stigma menebal dalam kalangan rakyat terhadap sistem PADU, antaranya membabitkan soal keselamatan data pengguna dan ketidakfahaman mereka berhubung keperluan untuk mendaftar ke dalam sistem itu.
“Sejak hari pertama pendaftaran PADU dibuka pada 2 Januari lalu, isu keselamatan data sudah pun berbangkit ditambah dengan kes penyebaran data melibatkan agensi kerajaan di media sosial, ia secara tidak langsung mewujudkan kebimbangan.
“Pada masa sama, ada juga persoalan timbul dalam kalangan masyarakat berkenaan keperluan mereka mendaftar di dalam sistem tersebut sedangkan data yang diminta sudah pun tersedia di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil
Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya.
“Jadi, timbul persoalan dalam kalangan rakyat, adakah data mereka terjamin 100 peratus jika mendaftar dalam sistem tersebut? Perkara ini perlu ada penyelesaian di peringkat kerajaan sendiri supaya kemajuan pendaftaran dapat berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, kerajaan perlu mempunyai mekanisme komunikasi yang jelas untuk menyelesaikan isu tersebut memandangkan risikonya amat besar jika kemajuan pendaftaran masih lagi perlahan sehingga tarikh akhir ditetapkan iaitu pada 31 Mac depan.
“Ini sangat membimbangkan kerana terdapat lebih kurang 27 juta lagi rakyat yang tidak berdaftar sedangkan tarikh pendaftaran semakin hari semakin hampir kepada penutupnya,” katanya.
Sistem PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu akan menjadi sumber rujukan tunggal kerajaan bagi 29.8 juta rakyat Malaysia dalam melaksanakan apa jua program pada masa hadapan termasuk pelaksanaan subsidi bersasar.
Sementara itu, Pakar Perunding Teknologi Maklumat, Ridzman Azzahari berkata, kerajaan perlu menggunakan seluruh jenteranya dengan masa berbaki untuk menyelesaikan isu yang menjadi punca kemajuan pendaftar sangat perlahan.
Jelasnya, kerajaan perlu membuat pecahan kumpulan yang sudah berdaftar mengikut umur bagi menentukan golongan mana yang menyebabkan kemajuan pendaftaran menjadi perlahan.
“Apabila sudah mempunyai data mengikut kategori umur tersebut barulah kerajaan boleh menggerakkan jentera menyasarkan kumpulan yang menyebabkan pendaftaran sistem PADU perlahan dan membantu mereka untuk berbuat demikian,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga percaya isu utama menyebabkan masih ramai tidak mendaftar adalah disebabkan tabiat ‘tunggu saat akhir’ rakyat Malaysia untuk melakukan sesuatu hal walaupun ia memberi risiko besar kepada masa depan mereka.
Selain itu, katanya, kebanyakannya masih belum melihat manfaat yang diperoleh jika mendaftar diri dalam sistem tersebut. – UTUSAN










