Pelancongan: Perlis dianak tiri MOTAC? - Utusan Malaysia

Pelancongan: Perlis dianak tiri MOTAC?

PELANCONGAN Perlis terus melonjak dengan lebih 3.2 juta pelancong ke negeri itu direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Di sebalik sektor pelancongan Perlis yang me­lonjak dan menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri bagaimanapun belum menerima peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) khususnya sempena pelaksanaan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Mengikut data, lebih 3.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah menghantar surat kepada MOTAC memohon peruntukan sebanyak RM4 juta.

Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga kini masih tiada jawapan diterima.
Katanya, peruntukan yang dimohon adalah bertujuan bagi menaik taraf lokasi-lokasi pelancongan di negeri ini bagi persediaan sebagai penganjur TMPs 2024/2025.

“Untuk pelaksanaan TMPs, persediaan kebanyakan dilakukan oleh kerajaan negeri dengan usaha rakyat sendiri bagi menarik kehadiran pelancong,” katanya.

Menerusi penganjuran TMPs 2024/2025, kerajaan negeri me­nyasarkan seramai 3.5 juta pelancong ke Perlis pada tahun ini yang menawarkan pelbagai destinasi percutian menarik.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, negeri-negeri lain yang turut menganjurkan tahun me­lawat seperti Perak dan Melaka sudah menerima peruntukan masing-masing daripada MOTAC.

“Sebagai contoh Perak telah menerima peruntukan sebanyak RM2 juta manakala Melaka pula menerima sebanyak RM7 juta namun Perlis belum menerima sebarang peruntukan daripada MOTAC.

“Sebelum ini pun memang Perlis ada menerima peruntukan untuk FRIM sebanyak RM500,000 namun ia bukannya diberikan melalui kerajaan ne­geri,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap MOTAC dapat menyegerakan pemberian peruntukan berkenaan bagi membantu menjayakan TMPs.

“Kita hanya mahu menaik taraf infrastruktur di lokasi-lokasi pelancongan bagi menarik kehadiran pelancong ke sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×