Najib mohon media dikenakan tindakan hina mahkamah

Najib mohon media dikenakan tindakan hina mahkamah

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak semena-mena, pasukan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka ingin memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap beberapa media tempatan.

Menurut peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beberapa media tempatan antaranya News Straits Times (NST), Sinar Harian, Astro Awani dan Kosmo! pada Selasa lalu telah menerbitkan berita yang didakwa telah memprejudiskan anak guamnya itu.

Peguam terbabit kemudian merujuk kepada beberapa laporan berita yang menyentuh mengenai dakwaan Najib menerima AS$681 juta untuk mempengaruhi Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

SALAH LAPOR

“Saya telah diarahkan oleh anak guam saya untuk membuat permohonan hina mahkamah atas salah lapor ini. Tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa AS$681 juta telah digunakan untuk mempengaruhi pilihan raya tersebut. Kami akan memulakan tindakan (hina mahkamah) terhadap NST yang merupakan pelaku utama dan mempertimbangkan media lain (untuk prosiding hina mahkamah),”ujar Muhammad Shafee.

Pada sidang media selepas tamat prosiding, Muhammad Shafee menyatakan beliau terpaksa membuat kenyataan tersebut sebelum memulakan sesi soal balas terhadap saksi berkenaan kerana ia memberikan gambaran tidak elok buat Najib.

Ujarnya, daripada AS$681 juta yang diterima Najib, sebanyak AS$620 telah dipulangkan semula kepada pemberi wang tersebut.

Tambahnya, baki di antara AS$200 ke AS$300 juta telah dibahagikan kepada beberapa bahagian UMNO dan Barisan Nasional (BN).

TANGGUNGJAWAB

“Wang-wang tersebut telah digunakan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi Najib,”kata peguam itu.

Sementara itu ketika prosi­ding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menyatakan, laporan dibuat media adalah berdasarkan ke­terangan yang diberikan dan direkodkan saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin yang merujuk kepada dokumen yang telah diterima ma­suk sebagai bukti di mahkamah.

“Pendakwaan tidak boleh mengawal apa dan bagaimana media membuat laporan mereka tetapi apa yang penting ialah apa yang telah disebut oleh saksi (Nur Aida) telah menjadi bukti di mahkamah ini. Apa dan bagaimana media membuat laporan mereka adalah di luar tanggungjawab kami,”ujar Ahmad Akram.

Merujuk kepada aduan Muhammad Shafee mengenai penyataan saksi Nur Aida yang dikatakan telah membuat pelbagai rumusan, pendakwaan mengakui terdapat beberapa bahagian yang berbentuk sedemikian.

Menurut Ahmad Akram, penyataan saksi tersebut dibuat sedemikian bagi memudahkan dan memendekkan tempoh saksi memberi keterangan.

“Kami akan membuat pindaan terhadap penyataan saksi tersebut dengan menambah kolum di bahagian tepi dan meletakkan senarai dokumen-dokumen yang dirujuk,”katanya.

Selain itu, pendakwaan juga bersetuju untuk memadamkan beberapa ayat dalam penyataan saksi itu yang dibantah oleh pembelaan manakala ada di antaranya akan dihujahkan lebih lanjut di akhir kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya