MELAKA: Para peniaga Uptown Pahlawan Walk di Banda Hilir di sini menyifatkan lokasi baharu dari hadapan Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hingga premis makanan segera di Dataran Pahlawan mempunyai aura tersendiri.
Peniaga, Nahar Aji, 52, berkata, lokasi itu mempunyai potensi walaupun pada awal perpindahan sejak Jumaat lalu tidak ramai pengunjung.
Dia yang berniaga pakaian lelaki dan wanita menjelaskan, ia memerlukan tempoh masa antara dua hingga tiga bulan bagi membolehkan tapak itu menjadi tumpuan.
“Ketika ini ramai terutama pelancong tempatan kurang keluar berbelanja selepas menghabiskan musim cuti sekolah, Disember lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi peniaga, Sadikin Sae, 40, berkata, dia yakin penempatan kali ini jauh lebih baik dari lokasi lama.
Dia yang sudah berniaga sejak kewujudan Uptown Pahlawan Walk memberitahu, kawasan lama adalah laluan utama pelancong.
“Jadi, kita peniaga kena sabar sikit. Insya-Allah dalam tempoh tiga minggu lagi pasti pelancong dan penduduk setempat enjadikan kawasan ini sebagai tumpuan,” katanya. – UTUSAN










