KPI mampu ukur pencapaian, hala tuju universiti

KPI mampu ukur pencapaian, hala tuju universiti

UTUSAN Malaysia terbitan 23 Januari 2024
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Naib Caunselor, Dekan, Ketua Jabatan dan pensyarah universiti perlu ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) supaya hala tuju dan pencapaian setiap universiti boleh diukur dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof. Ahmad Ismail berkata, KPI tersebut perlu berasaskan peranan univeristi dalam membekalkan bakat sumber manusia di negara ini.

“Pihak universiti tentunya lebih faham tentang universiti masing-masing dan apa yang mereka hendak hasilkan.

KEJAYAAN

“Pengurusan tertinggi universiti tidak perlu tunggu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana universiti sepatutnya mempunyai kuasa tersendiri dan mesti merancang kejayaan program masing-ma­sing.

“Tugas KPT hanya perlu se­dia­kan polisi, strategi dan panduan tindakan yang baik sebagai panduan universiti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, KPT diarahkan memberi kuasa penuh kepada universiti awam supaya dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan keutamaan masing-masing.

Langkah itu juga bagi mengelakkan birokrasi selain membolehkan prestasi universiti awam berkembang serta me­nyumbang kepada pendidikan masa hadapan.

Ahmad berkata, banyak bidang di universiti telah ‘mati’ yang disebabkan perancangan dan fokus universiti yang tidak jelas.

PROSEDUR

Sehubungan itu, beliau bersetuju bahawa pemansuhan birokrasi akan dapat meringankan beban pensyarah dengan mengurangkan prosedur yang tidak perlu.

Beliau menjelaskan, pensyarah perlu diberikan ruang dan peluang lebih untuk berkarya dan memberikan pendedahan kepada ilmu teknologi baharu berkaitan bidang mereka, bukan hanya memenuhi prosedur kerja yang mengambil banyak masa.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, kuasa penuh kepada universiti awam dapat meningkatkan impak kepakaran universiti dalam bidang masing-masing kepada masyarakat dan negara.

“Sebagai contoh, kalau kekuatan universiti itu dalam bidang kejuruteraan dan kita nak syor sesuatu beri impak kepada masyarakat, maka kita maklum kepada kementerian. Maknanya, kalau boleh buat (lulus) dua hari, buat apa tunggu dua minggu.

“Apa yang saya faham, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu kecepatan, jadi kena cepat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, universiti awam sememangnya adalah pihak berkuasa berkanun penuh yang mempunyai struktur dan Perlembagaan sendiri.

Namun, katanya, apabila universiti awam tertakluk kepada peruntukan kewangan kerajaan, maka terikat dengan polisi dan amalan kerajaan termasuk pihak KPT yang merasakan mereka ada hak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN