CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan berusaha mempercepatkan tempoh membaikpulih rumah 17 keluarga Orang Asli Sungai Ruil di sini yang terjejas akibat tanah runtuh 12 Oktober lalu bagi membolehkan semua mangsa dapat pulang awal ke kediaman mereka.
Kesemua keluarga terdiri dari 88 penduduk itu kini ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil dan dipindahkan ke kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) akhir bulan ini sehingga rumah mereka selesai dibaik pulih pada November 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut dilakukan kerana tempoh dua tahun yang ditetapkan baik kerja balik pulih itu dianggap terlalu panjang.
“Oleh kerana tempoh reka bentuk dan juga tempoh perolehan serta penyiapan itu terlalu panjang, kami akan melakukan tindakan bagi memperolehi kelulusan khas untuk memendekkan tempoh perolehan dengan kaedah-kaedah yang diluluskan Kementerian Kewangan.
“Saya harap kerjasama di antara KKDW, Jakoa dan JKR (Jabatan Kerja Raya) serta lain-lain agensi dapat memendekkan tempoh bagi pemindahan semula 17 keluarga ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawan ke lokasi pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam masa sama turut mengingatkan penduduk di sekitar kawasan rumah yang terjejas untuk tidak khuatir sepanjang proses baik pulih dan membaiki cerun dijalankan.
“Yang penting pengarah JKR negeri memberitahu bahawa struktur cukup kukuh. Ertinya kediaman ini mempunyai cerucuk yang kukuh.
“Beberapa tindakan teknikal dilakukan bagi menentukan bahawa rumah-rumah ini kukuh dan jika berpindah semula insya-Allah ia akan terus dipantau oleh pihak JKR dan Jakoa supaya sebarang pergerakan air di bawah tanah dan lain-lainya akan dapat dilakukan tindakan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, JKR pada awal November tahun lalu, mendapati kerja baik pulih cerun yang runtuh itu akan mengambil masa dua tahun membabitkan peruntukan lebih RM3 juta.
Jakoa memaklumkan akan menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuarters TNB yang disewakan pada kadar RM500 sebulan seunit dan mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan seperti yang terkandung di dalam terma perjanjian penyewaan sebelum ini.
Blok kuarters berkenaan kini sedang dibaik pulih TNB supaya ia selesa diduduki dan dijangka siap akhir bulan ini. – UTUSAN










