Kebakaran Surau Ar Nur Parit Bangas perbuatan khianat? - Utusan Malaysia

Kebakaran Surau Ar Nur Parit Bangas perbuatan khianat?

KEADAAN Surau Ar Nur Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat yang terbakar kira-kira pukul 10 malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kebakaran masjid dan surau di Sri Medan dekat sini seolah-olah seperti kejadian bersiri apabila sebuah surau di Kampung Parit Bangas pula dilaporkan berlaku malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam tadi di surau berkenaan hampir serupa dengan kebakaran di Masjid Kampung Parit Simis malam semalam. 

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan, iaitu khianat dengan api yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan. 

“Sebelum itu, pada pukul 11.55 malam tadi, anggota bertugas Balai Polis Sri Medan telah menerima maklumat daripada orang awam menyatakan Surau Ar Nur Parit Bangas, Sri Medan telah terbakar.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku lebih kurang pukul 10 malam yang disedari oleh seorang penduduk secara kebetulan melalui kawasan tersebut.

“Dengan bantuan penduduk berhampiran, kebakaran berjaya dipadamkan 15 minit kemudiannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Ismail, hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada karpet, dua pendingin hawa, perabot dan pendawaian telah musnah terbakar. 

Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menjalankan siasatan punca sebenar kejadian. 

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Polis Sri Medan menerusi talian 07-4850222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN