Kad cip elektronik dikebas pencuri, Telekom Malaysia rugi RM1.2 juta - Utusan Malaysia

Kad cip elektronik dikebas pencuri, Telekom Malaysia rugi RM1.2 juta

KABINET Telekom Malaysia (TM) mengandungi kad cip elektronik yang dikebas pencuri di sebuah lokasi di Lipis, Pahang. - FOTO IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Telekom Malaysia (TM) dilaporkan kerugian kira-kira RM1.2 juta ekoran. kehilangan kad cip elektronik dan peralatan telekomunikasi lain pada 30 buah peti kabinet milik syarikat terbabit di Lipis, Raub dan Bentong yang berlaku sejak awal Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, berikutan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima tujuh laporan polis kejadian kecurian dan kehilangan kad cip elektronik dan peralatan lain yang terdapat pada peti kabinet tersebut.

“Individu tidak bertanggungjawab mencuri kad cip elektronik ini dipercayai bergiat aktif pada waktu siang antara pukul 9 pagi hingga 5 di sekitar Lipis, Sungai Ruan, Raub dan Bukit Tinggi, Bentong.

“Sebanyak 30 peti kabinet tersebut menjadi sasaran pencuri di kawasan tersebut menyebabkan pengguna internet di kawasan itu gagal mendapat capaian internet dan gangguan perkhidmatan telefon,” katanya di IPD Lipis di sini hari ini.

Menurut Azli, TM memaklumkan setiap peti tersebut bernilai kira-kira RM40,000 perlu dipasang semula dengan alat gantian bagi membaikpulih perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terbabit.

Katanya, orang ramai diminta melaporkan dengan segera kepada pihak polis sekiranya terlihat individu yang mencurigakan di tempat terletak peti kabinet TM yang mengandungi cip tersebut atau sebarang peralatan peralatan milik syarikat komunikasi tersebut khususnya di Lipis.

“Jika terdapat sebarang maklumat berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amirul Aiman menerusi talian 0177093942 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Ariffin, 0132996456,” katanya.

Orang ramai yang mengetahui maklumat kecurian itu juga boleh menghubungi terus ke Bilik Gerakan IPD Lipis, di talian 093122222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya