LONDON: Gelombang haba yang memecahkan rekod di Britain pada Jun lalu mengakibatkan kira-kira 24 juta jam waktu bekerja hilang, sekali gus menyebabkan kerugian ekonomi negara dianggarkan 1.15 bilion pound (RM6.2 bilion).
Britain, Perancis dan beberapa negara Eropah lain berdepan gelombang haba luar biasa bulan lalu yang mengganggu perkhidmatan pengangkutan, operasi sekolah dan hospital.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan awam dan kemampuan infrastruktur menghadapi cuaca panas melampau.
Kajian itu diterbitkan London School of Economics (LSE) semalam. Ia mendapati pekerja dalam sektor yang lebih terdedah kepada cuaca panas dan memerlukan tenaga fizikal seperti pembinaan serta pertanian mengurangkan waktu bekerja lebih banyak berbanding mereka dalam sektor kurang terdedah gelombang haba.
Berdasarkan kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Grantham di LSE dan Pusat Perubahan Iklim Euro-Mediterranean (CMCC) terhadap 1,950 responden di seluruh Britain, purata waktu bekerja berkurangan sebanyak 0.47 jam pada minggu bermula 22 Jun.
Kajian itu turut mendapati 3.6 peratus responden, bersamaan kira-kira 1.25 juta pekerja, tidak bekerja langsung pada minggu berkenaan akibat cuaca panas melampau.
Menurut LSE, penyelidik turut menilai kesan gelombang haba terhadap tempoh waktu bekerja, kualiti tidur dan perubahan corak perjalanan responden ke tempat kerja.
Majoriti responden, iaitu 87 peratus, melaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu kesan terhadap kesihatan sepanjang minggu gelombang haba itu, termasuk gangguan tidur, keletihan ketika bekerja, pening, pitam dan degupan jantung lebih laju.
Pengarah Institut Penyelidikan Grantham, Elizabeth Robinson berkata, hasil kajian menunjukkan Britain masih belum cukup bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan iklim yang semakin ketara.
“Penemuan kami menunjukkan negara ini masih belum mempunyai tahap kesiapsiagaan yang mencukupi untuk menghadapi perubahan iklim,” katanya. – AFP










