TEL AVIV: Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid menyifatkan perjanjian damai yang sedang dimuktamadkan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sebagai sesuatu yang merugikan Israel kerana gagal mencapai matlamat utama perang rejim Zionis itu terhadap Teheran.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan satu perjanjian akan ditandatangani pada Ahad, manakala Iran pula memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani dalam beberapa hari lagi.
“Perjanjian yang sedang terbentuk ini tidak mencapai satu pun objektif perang Israel. Rejim Iran terus kekal, program peluru berpandunya tidak terjejas dan Iran masih boleh membina semula program nuklearnya,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Beliau turut menyifatkan perjanjian itu mencerminkan ‘kegagalan sepenuhnya’ bagi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Walaupun butiran penuh perjanjian belum didedahkan, Trump berkata, Iran akan berjanji untuk tidak membangunkan senjata nuklear, manakala AS akan mencairkan dan memusnahkan stok uranium diperkaya milik Iran.
Iran bagaimanapun menegaskan pengayaan uranium merupakan hak kedaulatannya dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, MoU itu akan memberi tumpuan kepada penamatan perang dan pembukaan semula Selat Hormuz, selain menyediakan tempoh 60 hari untuk rundingan lanjut mengenai program nuklear negara itu.
Teheran turut menafikan dakwaan ia berusaha membangunkan senjata nuklear.
Sebelum ini, AS dan Israel menuntut Iran membubarkan sepenuhnya program nuklearnya serta menyerahkan keseluruhan simpanan uranium diperkaya. Netanyahu juga berulang kali menggesa rakyat Iran menggulingkan kerajaan mereka.
“Selagi saya menjadi perdana menteri Israel, Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear. Saya dan Trump mempunyai pendirian yang sama dalam isu ini,” kata Netanyahu pada Jumaat.
Bagaimanapun, laporan media termasuk Axios dan CNN menyebut Netanyahu terkejut dengan perkembangan ke arah perjanjian tersebut. Trump turut mengakui beliau menekan Netanyahu supaya menghentikan serangan udara Israel di Lubnan menerusi beberapa perbualan telefon yang tegang.
Pada masa sama, Parti Demokrat dan beberapa tokoh Republikan yang menentang Trump menuduh beliau berperang dengan Iran yang bermula pada 28 Februari lalu demi kepentingan Israel. Trump menolak dakwaan itu dan menegaskan tindakannya dibuat demi kepentingan AS selepas mengumumkan gencatan senjata dengan Iran pada 7 April.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, teks MoU yang sedang dirundingkan ketika ini memberi tumpuan utama kepada penamatan perang dan tidak merangkumi isu nuklear pada peringkat semasa.
Dalam sidang media di Hamadan, beliau berkata, MoU itu bertujuan menamatkan konflik di semua medan termasuk Lubnan dan bukan merupakan perjanjian muktamad antara Iran dan AS.
“Dokumen ini hanyalah rangka kerja yang menggariskan bidang-bidang utama yang masih dipertikaikan serta menetapkan penamatan perang, bukannya menyelesaikan semua isu tertunggak,” katanya.
Menurut Baghaei, isu serangan terhadap kapal Iran serta perkara berkaitan Selat Hormuz turut menjadi sebahagian daripada rundingan semasa dan turut menafikan laporan MoU itu akan ditandatangani pada Ahad.
“Tarikh sebenar masih belum dimuktamadkan. Penandatanganan mungkin berlaku dalam beberapa hari lagi, namun esok (Ahad) bukan tarikh yang ditetapkan.
“Kami tidak mempunyai rancangan untuk ke Geneva (Switzerland) atau mana-mana lokasi lain dalam tempoh dua hari akan datang,” katanya.
Beliau bagaimanapun mendedahkan proses merangka memorandum itu berkemungkinan besar akan diselesaikan dalam masa terdekat. – AGENSI










