PETALING JAYA: Ibu bapa perlu memastikan anak mereka yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 hadir peperiksaan itu yang bermula hari ini dengan ujian bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Ini kerana tahun lalu menyaksikan sebanyak 14,858 orang atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon SPM 2022 tidak hadir dan jumlah itu meningkat berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada 392, 837 calon berdaftar.
Ujian bertutur Bahasa Melayu penting kerana jika calon ponteng ujian itu mereka tidak akan mendapat sijil SPM walaupun semua subjek lain lulus dengan cemerlang. Calon juga perlu lulus subjek Sejarah untuk mendapat sijil SPM.
Terdahulu ujian Amali Sains bagi peperiksaan SPM melibatkan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember lalu.
Seramai 91,908 calon mendaftar bagi mata pelajaran Fizik manakala bagi subjek Kimia ialah 93,135 calon, Biologi (72,841 calon) dan Sains Tambahan (1,784 calon).
KEHADIRAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kehadiran calon ke pusat peperiksaan bukan sahaja dapat memastikan mereka menjawab, tetapi bagi mengelakkan masa depan gelap setelah tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Selain jangan beri tekanan kepada anak-anak, semua pihak khususnya ibu bapa perlu tahu jadual peperiksaan dan pastikan calon-calon menduduki peperiksaan. Ibu bapa kena semak tarikh dan masa peperiksaan berlangsung, ini amat penting sebagai persediaan sebelum menjawab kertas soalan.
“Malah pastikan keselamatan anak-anak terjamin termasuk dari segi perjalanan ke sekolah. Jangan tergesa-gesa dan sila keluar awal ke pusat peperiksaan,” katanya.
Sebanyak 395,870 calon SPM 2023 menduduki peperiksaan itu bermula hari ini yang bermula dengan ujian bertutur Bahasa Melayu sehingga 11 Januari, bagi bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari ini.
UJIAN
Peperiksaan itu kemudian diikuti dengan ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula diadakan pada 29 Januari dan peperiksaan bertulis dijadualkan pada 30 Januari sehingga 7 Mac.
SPM 2023 melibatkan 3,340 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan 129,636 orang petugas peperiksaan bagi memastikan kelancaran pengurusan serta pengendalian peperiksaan.
Dalam pada itu, Fouzi berkata, anjakan tarikh SPM iaitu kira-kira sebulan lebih awal tidak menjejaskan persiapan pelajar kerana pihak sekolah dan guru telah menghabiskan silibus mata pelajaran enam bulan lebih awal sebelum peperiksaan berlangsung.
Sehubungan itu, menurut beliau, tidak timbul isu sama ada kemungkinan silibus atau kandungan sukatan mata pelajaran untuk SPM tidak dapat diselesaikan atau dibuat secara tergesa-gesa.
Beliau berkata, langkah mengadakan peperiksaan itu pada bulan ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang mahu mengembalikan kalendar akademik persekolahan kepada Januari seperti sebelum ini dan usaha berkenaan akan dilaksanakan sepenuhnya pada sesi persekolahan 2026.
“Anjakan tarikh ini dibuat dengan beransur-ansur termasuk peperiksaan SPM yang bermula dari Mac dan kemudian Januari sebelum ini sebelum dikembalikan kepada November dan Disember sepertimana jadual asal sebelum Covid-19,” katanya.
Terdahulu, kementerian menghebahkan jadual waktu peperiksaan SPM boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
Kementerian turut mengingatkan semua calon untuk membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan. – UTUSAN










