Hamas, Fatah bersatu demi kebebasan Palestin - Utusan Malaysia

Hamas, Fatah bersatu demi kebebasan Palestin

Walid Abu Ali (tengah) ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia di Kuala Lumpur. Beliau bercakap mengenai Hamas dan Fatah yang ketika ini bersama-sama berjuang untuk membebaskan Palestin daripada kekejaman Israel. – utusan/ M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hamas dan Fatah kini mengetepikan konflik yang wujud antara mereka bagi membebaskan Palestin daripada ‘kuku besi’ Israel.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, serangan dan kekejaman yang dilakukan Israel tidak mengenal sama ada mangsa daripada kumpulan Hamas mahupun Fatah.

Kata beliau, isu antara Hamas dan Fatah tidak sepatutnya diutamakan kerana kedua-dua kumpulan tersebut berjuang demi Palestin menentang satu musuh iaitu rejim Zionis.

“Hamas adalah kumpulan pejuang Palestin, matlamat mereka berjuang sama dengan Fatah atau mana-mana kumpulan politik lain. Kami semua hanya ada satu sahaja musuh iaitu Israel.

“Ketika ini semua rakyat Pa­lestin sedang sengsara, roket yang dilancarkan oleh Israel tidak mengenal siapa Hamas atau Fatah. Kami semua menjadi sasaran rejim Zionis.

“Kami semua sekarang ini bersatu menentang kekejaman dan penaklukan yang dilakukan oleh Israel,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini.

Melalui laporan harian me­ngenai kesan pencerobohan Israel di Palestin setakat 2 Januari, sebanyak 21,978 rakyat Palestin maut iaitu 21,978 (Gaza) dan 323 (Tebing Barat).

Daripada jumlah tersebut sebanyak 8,663 kanak-kanak maut, wanita (6,200) dan warga emas (695).

Jumlah rakyat Palestin yang cedera pula sebanyak 57,697 dan 7,700 hilang akibat daripada serangan yang dilakukan oleh Israel.

Israel juga membunuh 600 petugas kesihatan sehingga menyebabkan krisis kesihatan di Palestin dan turut mengorbankan 106 wartawan yang me­laporkan keadaan dan kemusnahan akibat dari kekejaman rejim Zionis.

Walid Abu berkata, Palestin sentiasa menjadi mangsa la­yanan ‘double standard’ komuniti antarabangsa yang sejak dahulu menyaksikan jenayah dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Jelasnya, strategi Israel kini adalah menghalau rakyat Palestin di Gaza terlebih dahulu dan seterusnya penduduk di Tebing Barat.

“Israel percaya mereka boleh menghalau keluar rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan. Namun, ini tidak akan sesekali terjadi sebab kami lebih sanggup mati di tanah air kami sendiri daripada ‘nakba’baharu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN