Dua minggu lagi ketahui kos siapkan LRA Telibong II - Utusan Malaysia

Dua minggu lagi ketahui kos siapkan LRA Telibong II

LOJI Rawatan Air Telibong II di Tuaran memerlukan kos tambahan untuk disiapkan sepenuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Pusat menunggu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengemukakan anggaran kos untuk Projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pusat akan memberi peruntukan tambahan dalam bentuk pinjaman untuk me­nyiapkan baki 30 peratus Projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II.

“Isu bekalan air ini perlu kita selesaikan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada saya untuk mencari penyelesaian kerana kawasan ini agak kritikal bukan sahaja untuk industri tapi juga penduduk setempat.

“Kita tahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempunyai masalah air jadi, saya datang melihat sendiri. Selepas dua minggu lagi dapat laporan daripada pasukan teknikal, kita akan cari jalan penyelesaian,” kata beliau selepas lawatan ke LRA Telibong II di sini semalam.

Menurut beliau, setakat ini projek LRA Telibong sudah siap 70 peratus dan memerlukan tambahan dana bagi menyiapkan sepenuhnya.

Fadilah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam itu berkata, selepas menerima anggaran kos itu, beliau akan berbincang di peringkat Persekutuan bagaimana untuk mendapatkan dana tambahan kerana peruntukan bagi projek tersebut berbentuk pinjaman.

“Cabaran kita adalah dari segi peruntukan kerana ia berbentuk pinjaman yang diberikan kepada kerajaan negeri. Dalam memberi pinjaman ada syarat tertentu yang telah ditetapkan namun, kita akan berusaha untuk membantu,” katanya.

Kata beliau, cabaran lain yang dihadapi dalam mempercepatkan pelaksanaan LRA Telibong II adalah tapak projek yang memerlukan kordinasi antara dua agensi iaitu JKR dan JANS kerana ia membabitkan laluan Lebuhraya Pan Borneo.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan peruntukan berjumlah RM320 juta untuk membantu menyelesaikan isu air di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya memaklumkan kira-kira RM200 juta daripada jumlah peruntukan yang diluluskan itu telah diterima pada Disember tahun lalu dan kerja-kerja berkaitan telah pun dimulakan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN