Badan Peguam menyibuk, pilih bulu - Ahmad Zahid

Badan Peguam menyibuk, pilih bulu – Ahmad Zahid

ahmad zahid
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Badan Peguam memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskannya tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan sebagai `busy body’ dan cuba menjadi juara keadilan.

Ahmad Zahid menyatakan, Badan Peguam menunjukkan sifatnya yang sebenar apabila menjadi selektif (pilih bulu) dalam mengkritik keputusan Peguam Negara (dalam kes ini) tetapi membisu atau takut berhubung keputusan DNAA atau lepas bebas (DNA) daam kes-kes terdahulu.

Antara keputusan kes-kes membabitkan ahli-ahli politik lain yang mana Badan Peguam didakwa membisu ialah bekas Anggota Parlimen Batu Berendam, Datuk Tamrin Ghafar yang didakwa menghasut (DNA); kes rasuah Lim Guan Eng berhubung pembelian lot tanah dan banglo (DNA) dan kes Rafizi Ramli yang menyiarkan artikel berbentuk tohmahan terhadap Tabung Haji dan dedah akaun bank (DNA).

“Pemohon cuba menggambarkan suatu imej sebagai juara keadilan (Champions of Justice) kepada masyarakat awam Malaysia dengan mempersoalkan keputusan Responden Pertama dan Mahkamah yang membenarkan suatu DNAA bersabit Pertuduhan-Pertuduhan jenayah melibatkan kes-kes saya.

“Tetapi, melihat kes-kes lepas yang mana keputusan sama dibuat oleh Peguam Negara terdahulu dalam kapasiti sebagai Pendakwa Raya yang membenarkan DNAA atau pelepasan dan pembebasan bagi kes-kes berkaitan politik yang lain, Pemohon hanya berdiam diri atau takut atau bisu dalam tindakan mereka.

“Selain itu, Pemohon telah menunjukkan kelakuan tidak rasional dan tidak munasabah dalam mempersoalkan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Responden Pertama putatif yang menjalankan tugas beliau sebagai Pendakwa Raya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ringkasnya, Pemohon adalah semata-mata ‘tukang sibuk’ dalam kes ini. Hanya pihak yang terjejas teruk atau terkesan dengan teruk (“adversely or gravely affected”) dengan keputusan Pendakwa Raya yang boleh memohon suatu kebenaran untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman bersabit kes ini,”ujar Ahmad Zahid dalam afidavitnya.

Pada 4 September 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan, dibatalkan.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Peguam Negara selaku responden pertama menyatakan, peruntukan Seksyen 254 (1) Kanun Tatacara Jenayah membenarkan Pendakwa Raya memohon bagi DNAA selepas peringkat prima facie.

Tambahnya, berdasarkan seksyen berkenaan, Peguam Negara boleh mengemukakan permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan pada bila-bila masa selagi mahkamah bicara belum membuat keputusan akhir.

Menurut Ahmad Hanir, Badan Peguam tidak memenuhi keperluan udang-undang dalam mengemukakan permohonan tersebut dan gagal menunjukkan bahawa tindakan Peguam Negara itu tidak rasional dan tidak sah.

Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili Badan Peguam, tanpa membalas kepada hujah Ahmad Hanir memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan merujuk beberapa persoalan perlembagaan berhubung permohonan kebenaran itu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan persoalan-persoalan yang akan dirujuk tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh kemudian menetapkan 6 Februari ini bagi pengurusan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya