KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Mei ini untuk keputusan sama ada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menetapkan tarikh itu selepas mendapat permohonan daripada peguam bela, Datuk Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid untuk menangguhkan keputusan yang sepatutnya dibuat pada hari ini.
“Mahkamah menetapkan 14 Mei ini untuk keputusan tertakluk kepada satu keputusan Mahkamah Rayuan (berhubung rayuan Badan Peguam terhadap Ahmad Zahid) yang akan diberikan pada 7 Mei,” katanya.
Pada 7 Mei ini, Mahkamah Rayuan akan memberikan keputusan berkait permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada kesemua pertuduhan itu.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Armadan dan peguam pemerhati dari Badan Peguam, Collin Andrew.
Pada 24 Februari lalu, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Namun, Hakim Nurulhuda memaklumkan walaupun pihak pendakwaan tidak membantah, mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap permohonan tersebut sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan Badan Peguam.
Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk dilepas dan dibebaskan (DNA) pada 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.
Alasan utama permohonan itu kerana Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan NFA itu dibuat selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut.
Peguam Negara dalam kenyataan itu berkata, pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.
“Penelitian turut melibatkan langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu.
“Ia turut meliputi dapatan hasil siasatan lanjut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan itu dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










