Anak-anak Palestin diancam salmonella

Anak-anak Palestin diancam salmonella

KANAK-kanak Palestin terdedah kepada pelbagai ancaman penyakit disebabkan terpaksa tinggal dalam keadaan bersesak, tiada bekalan air bersih dan ubat-ubatan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 420,000 kanak-kanak di Gaza dijangkiti bakteria salmonella yang menyebabkan mereka mengalami cirit-birit dan muntah yang serius disebabkan ketiadaan bekalan air bersih dan ubat-ubatan di wilayah tersebut.

Lebih menyedihkan, ratusan kanak-kanak yang dijangkiti wabak itu meninggal dunia kerana tidak mendapatkan rawatan sewajarnya berikutan hampir keseluruhan sistem kesihatan di Gaza lumpuh akibat serangan rejim Zionis.

TERCEMAR

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Eksekutif Strategik Perhubungan Awam Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, punca utama bakteria tersebut merebak adalah mereka terpaksa makan dan minum air taku­ngan yang tercemar.

Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak yang meninggal dunia adalah dalam kalangan anak yatim piatu.

Untuk rekod, 47 peratus atau 1.05 juta daripada 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia bawah 18 tahun.

Beliau berkata, keadaan penyakit berjangkit di sebelah utara Gaza mungkin lebih serius memandangkan kawasan yang menempatkan kira-kira 500,000 rakyat Palestin itu terputus hubungan langsung dengan dunia luar dan tidak menerima sebarang bantuan kemanusiaan.

TERPUTUS

“Di utara Gaza, mereka hanya bergantung daripada air hujan atau air yang bertakung di jalan raya. Akses terhadap bekalan makanan, ubatan, air bersih dan sebagainya terputus sama sekali,” katanya.

Menurut beliau selain daripada jangkitan bakteria, pihaknya juga mendapati penyakit kurap di kalangan rakyat Palestin juga semakin serius sejak peperangan berlaku kerana mereka terpaksa bersesak di suatu kawasan penempatan tanpa air untuk membersihkan diri sendiri.

Dalam masa sama, beliau berkata, cuaca sejuk di Gaza kini mencecah 0 darjah celsius pada waktu malam mencetuskan kebimbangan berlakunya penyakit reput fros (frostbite) khususnya di kalangan kanak-kanak disebabkan ketiadaan tempat tinggal dan pakaian yang sesuai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, berdasarkan keadaan semasa dengan kebanyakan institusi kesihatan di Gaza tidak berfungsi, situa­si penularan wabak semakin memburuk.

Menurutnya, kanak-kanak dan orang dewasa terpaksa minum air yang tercemar untuk meneruskan kehidupan mereka kerana ketiadaan bekalan air bersih.

“Data yang kita peroleh pada November lalu, kira-kira 66 peratus atau 60,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dilaporkan mengalami cirit-birit serius dan meningkat sekali ganda pada Disember,’’ kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN