PETALING JAYA: Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas kepada golongan miskin berbanding tahun lalu yang hanya terhad kepada kumpulan miskin tegar.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kadar bantuan juga ditingkatkan daripada RM600 (2023) kepada RM1,200 manakala golongan bujang kekal RM600.
Ia telah ditambah baik sebagai bantuan subsidi bersasar dan bakal dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari ini.
“Dengan penambahbaikan tersebut, program SARA tahun 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
“Di bawah program ini, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar,” kata kenyataan itu.
Program ini menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.
Kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, pelaksanaan tersebut akan bermula pada 22 Januari ini, bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula pada 19 Februari hadapan
(Isnin).
“Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.
“Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang melalui pengkreditan ke akaun bank dan secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,” katanya.










