Enam didakwa seleweng 6 tan minyak masak bersubsidi

Enam didakwa seleweng 6 tan minyak masak bersubsidi

Minyak masak bersubsidi
SENTHIL Vadivel (kiri) dan Moo Teck Lim bersama empat warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyeleweng 6.4 tan minyak masak bersubsidi, di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Enam termasuk empat warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeleweng lebih 6.4 tan metrik minyak masak bersubsidi di sekitar bandar raya ini dan Subang Jaya pada Selasa lalu.

Bagaimanapun dua tertuduh yang merupakan warga India dan tempatan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil dan Mandarin.

Sementara pertuduhan terhadap empat warga asing berusia 21 hingga 36 tahun itu ditunda pada 17 Ogos depan bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar.

Mengikut pertuduhan, Senthil Vadivel, 49, didakwa menyimpan barang berjadual iaitu minyak masak sebanyak 1,598 kilogram (kg), sementara, Moo Teck Lim, 50, pula dituduh menyimpan 4,845 kg.

Mereka didakwa melakukan perbuatan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan berurusan dengan minyak masak secara runcit atau borong tanpa lesen.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan masing-masing dekat sebuah stor tanpa nama di Seksyen 25 dan premis di Banggar Pinggir Subang di sini kira-kira pukul 3.30 dan 5.40 petang pada Selasa lalu.

Tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan 3(1) dan 21(1) Peraturan – Peraturan Kawalan Bekalan 1974, justeru dia dituduh di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua, dia boleh didenda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Abyan Anuar kemudian tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana melibatkan kes yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Sallim Wahid pula mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 ke atas Teck Lim sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh dijamin.

Hakim Fatimah kemudian membenarkan Senthil dan Teck Lim masing-masing diikat jamin sebanyak RM40,000 dan RM15,000 dengan dua dan seorang penjamin warga tempatan selepas mendengar mitigas kedua-dua tertuduh.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Putrajaya.

Sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh pada 17 dan 24 Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN