KUALA LUMPUR: Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) perlu menghentikan pertelagahan sesama ‘rakan komponen’ dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam perjuangan politik.
“Kalau tak mampu menjadi garam, jangan pula menjadi langau.
“Kalau tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya titipkanlah doa buat rakan-rakan yang sedang berjuang.
“Di medan perjuangan, tiada ruang untuk kita saling bercakaran kerana musuh sedang menanti di hadapan.
“Yang paling penting, jangan sesekali terperangkap dengan permainan dan perangkap lawan,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengenepikan segala perselisihan demi matlamat yang lebih besar.
Katanya, semua jentera perlu terus menyebarkan mesej positif serta memberi tumpuan kepada PRN Negeri Sembilan bagi memastikan kemenangan dapat dicapai.
“Ketika ini apa yang lebih diperlukan ialah semangat, sokongan serta doa agar segala usaha yang dilakukan dipermudahkan, bukannya celaan atau sindiran yang hanya akan melemahkan perjuangan.
“Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Semoga kita semua sentiasa menjadi insan yang membawa manfaat, bukan mudarat.
“Walaupun jasad tidak dapat bersama, namun hati, semangat dan doa saya akan sentiasa mengiringi setiap langkah rakan-rakan seperjuangan,” katanya.- UTUSAN










