Jerebu tebal landa negeri AS - Utusan Malaysia

Jerebu tebal landa negeri AS

JEREBU melanda langit bandar Detroit semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Langit Manhattan diselubungi jerebu tebal manakala Chicago menutup semua pantainya pada Khamis ketika kebakaran hutan yang tidak terkawal di Kanada terus marak, menyebabkan asap tebal merentasi sempadan ke Amerika Syarikat (AS) dan mendedahkan jutaan penduduk kepada kualiti udara yang berbahaya.

Beberapa negeri AS yang berhampiran sempadan Kanada termasuk Minnesota, Wisconsin, Michigan dan Illinois mengalami pencemaran udara yang teruk, manakala wilayah timur laut termasuk New York turut berdepan kemerosotan kualiti udara.

Menjelang petang Khamis, laman pemantauan IQAir melaporkan Chicago dan Detroit menjadi dua bandar paling tercemar di dunia, dengan New York turut mencatat tahap pencemaran yang tinggi.

Bandar terbesar AS itu diselubungi asap tebal yang menurut pihak berkuasa negeri mengandungi zarah halus yang tidak sihat untuk semua penduduk di kawasan metropolitan New York dan Long Island.

Keadaan udara lebih buruk melanda bahagian tengah dan barat negeri New York.

Pihak berkuasa menggesa penduduk New York supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah, manakala Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani memberi amaran mengenai ancaman serius akibat gabungan cuaca panas melampau dan pencemaran udara.

Perpustakaan dan stesen kereta api menyediakan pelitup muka secara percuma, sementara ratusan pusat penyejukan dibuka di seluruh bandar bagi membantu mereka yang tidak mempunyai penghawa dingin.

“Ini berpotensi menjadi episod jerebu paling serius di Bandar Raya New York sejak 2023 dan keadaan akan dipantau rapi sekiranya berlaku kemerosotan lanjut,” kata Jabatan Pengurusan Kecemasan Bandar Raya New York.

Pada 2023, langit bandar itu bertukar jingga dengan Indeks Kualiti Udara (AQI) mencecah paras berbahaya iaitu pada kadar 465.

Toronto di Kanada turut berdepan kualiti udara yang berbahaya ketika data terkini menunjukkan lebih 130 kebakaran hutan masih aktif di wilayah Ontario barat laut. Sekurang-kurangnya 60 kebakaran masih tidak dapat dikawal.

Pihak berkuasa wilayah itu secara rasmi meminta bantuan tambahan daripada kerajaan persekutuan, khususnya sokongan udara bagi memindahkan penduduk dari komuniti terpencil.

Polis Wilayah Ontario berkata 15 komuniti bersama kawasan sekitarnya telah dipindahkan setakat ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN