KOTA TINGGI: Kehilangan seorang pelajar tingkatan tiga sejak lima hari lalu terjawab selepas mayatnya ditemukan di dalam sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kilometer 8.2, Jalan Kluang–Kota Tinggi, di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC ditemukan orang awam kira-kira pukul 2.30 pagi tadi dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat kemalangan apabila motosikal ditunggangnya terbabas sendiri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di badan serta kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
“Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, keluarga pelajar itu dilaporkan merayu bantuan orang ramai untuk mengesan mangsa yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Simpang Waha, di sini Sabtu lalu.
Muhammad Nasrulhaq kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya kira-kira pukul 11 malam dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah hitam dengan nombor pendaftaran JVR 4139.
Ibu saudaranya, Nooranaliza Abd. Jalil, 43 berkata, ahli keluarga bimbang akan keselamatan remaja berkenaan memandangkan panggilan video terakhirnya bersama seorang rakan perempuan terputus secara tiba-tiba pada pukul 4.26 pagi, Ahad lalu.-UTUSAN










