KUANTAN: Seramai 10,000 rakyat setia menunggu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini bagi menyambut Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semalam.
Seawal pukul 9 pagi rakyat termasuk 40 murid tahun enam dan empat guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Bandar Indera Mahkota, Kuantan menyertai kumpulan tersebut.
Guru, M. Thiagaselan, 48, berkata, semua murid yang berkumpul teruja kerana buat pertama kali menatap wajah pasangan diraja secara dekat.
“Mereka (murid) sudah dimaklumkan seminggu sebelum majlis dan sejak itu mereka sudah tidak sabar untuk menyertai Istiadat Keberangkatan Balik baginda berdua.
“Ini pertama kali mereka hadir dalam istiadat ini dan secara tidak langsung boleh mempelajari pelbagai perkara dan ini dapat menerapkan tentang kedaulatan raja dan memupuk semangat setia kepada negara,” katanya ketika ditemui di Pangkalan TUDM Kuantan di sini semalam.
Seorang warga emas, Jaariah Ahmad, 67, berkata, walaupun kurang sihat, dia tetap menggagahkan diri hadir ke Pangkalan Udara TUDM Kuantan bagi memenuhi permintaan cucunya, Nurul Auni Batrisya Mohd. Sahiful, 10, yang menyaksikan Istiadat Keberangkatan Balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
Katanya, dia yang tinggal di Pantai Sepat sudah tiba di situ seawal pukul 9 pagi dibawa anak perempuannya, Nurul Khamilah Md. Rashid, 31.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM Kuantan pukul 11.58 pagi bagi menyempurnakan Istiadat Keberangkatan Balik baginda berdua.
Baginda berdua menaiki pesawat khas diiringi dua pesawat udara TUDM, F/A-18 D Hornet.
Ketibaan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, anakanda dan kerabat diraja Pahang. – UTUSAN










