Sabah, Sarawak konsisten tolak cubaan tebuk atap kerajaan

Sabah, Sarawak konsisten tolak cubaan tebuk atap kerajaan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak konsisten menolak beberapa cubaan terdesak untuk menjatuhkan kerajaan sepanjang tempoh setahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menerima kunjungan beliau di Putrajaya kelmarin..

“Beliau mengulangi pendirian yang tegas dan tidak bertolak ansur bahawa Kerajaan Perpaduan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang. Beliau juga menyampaikan beberapa percubaan yang agak desperate oleh kalangan lain yang cuba memberi perakuan dan memujuknya dan GPS yang mana beliau menolak dengan tegas.

“Dalam beberapa pertemuan terakhir, bila ada percubaan itu, beliau secara konsisten menolak dengan tegas bahawa tidak akan melayani sebarang perbincangan untuk meretakkan hubungan Sarawak dan persekutuan dan hubungan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Anwar menyifatkan, dalam senario politik semasa, peranan atau pendirian GPS dan GRS agak kritikal kerana hanya dengan penyertaan serta dukungan parti utama dari Sabah dan Sarawak yang membolehkan pembentukan dan kestabilan kerajaan.

Katanya, Abang Johari memaklumkan bahawa beliau tidak mahu lagi melalui cubaan menukar kerajaan seperti peristiwa Langkah Sheraton.

“Kita bicara panjang dan beliau mahu menutup episod ini sama sekali sebab itu, kemungkinan tebuk atap ini kalau nak digunakan lagi dukungan Sabah dan Sarawak, memang terbatal dengan sendirinya,” katanya.

Pendirian tegas Abang Johari itu bagi Anwar, memudahkan lagi tugasnya untuk fokus kepada mentadbir negara.

“Ini tentunya suatu kesempatan baik untuk kerajaan lebih tegas dalam isu tatakelola, dalam isu memerangi rasuah.

“Saya mahu selepas ini sukar mana-mana pihak yang berasakan untuk menggunakan kedudukan sebagai perdana menteri, menteri kewangan, menteri-menteri untuk menggeledah khazanah negara dan menggondol kekayaan kerana kita tetapkan suatu garis agak jelas,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×