PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mengadakan pertemuan santai di pulau peranginan terkemuka dunia di Phuket, sambil membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah isu penting kedua-dua negara antaranya berkaitan sektor pelancongan Malaysia-Thailand.
Katanya, Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosi pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung Malaysia secara bersama susulan peningkatan mendadak sektor pelancongan kedua-dua negara.
“Selain itu, kami berdua turut bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao – Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang.
“Saya dan PM (Perdana Menteri) Srettha juga sepakat untuk bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Perdana Menteri berkata, bagi memantau perkembangan projek dari semasa ke semasa satu jawatankuasa khas peringkat tertinggi membabitkan Malaysia – Thailand diberi tanggungjawab untuk melaporkannya kepada kerajaan masing-masing.
Katanya, laporan tersebut akan bermula pada pertengahan Januari tahun depan.
“Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut berkongsi bahawa beliau dan Srettha turut membincangkan isu berkaitan situasi banjir yang sedang berlaku di kedua-dua negara dan memaklumkan akan melakukan lawatan ke Kelantan bagi melihat keadaan di negeri tersebut.
“Kami juga sempat bicara terkait situasi banjir yang berlaku ketika ini dan insya-Allah esok (hari ini) saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana. Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” katanya. – UTUSAN










