PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi menafikan tuduhan kononya pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) adalah satu pembaziran kerana melibatkan kontrak beratus juta ringgit.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, sistem PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dari tiga agensi utama yang terdiri daripada kementeriannya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang melibatkan kerjasama semua agensi lain.
Menurut beliau, penjawat awam membangunkan PADU menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta.
Justeru, katanya, ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti yang selalu berlaku setiap kali ada sistem baharu yang diperkenalkan kerajaan.
“PADU dibangunkan dalam tempoh masa yang sangat singkat iaitu tujuh bulan (dari Mei 2023 hingga Disember 2023). Ia mengatasi pelaksanaan projek-projek sistem yang dikendalikan oleh pihak swasta sebelum ini dari segi keupayaan menyiapkan sistem untuk keperluan kerajaan dan rakyat dalam tempoh yang begitu singkat.
“PADU tidak akan melibatkan pembayaran setiap tahun kepada penyedia sistem pihak swasta seperti yang selalu berlaku kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dan milik kerajaan sepenuhnya.
“PADU berjaya disediakan dalam tempoh yang singkat dan tanpa peruntukan tambahan kerana hasil penat lelah penjawat awam yang bersengkang mata selama tujuh bulan,” katanya menerusi catatan di Facebook.
PENJAWAT AWAM
Dalam kenyataan sama, Rafizi mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam dan keseluruhan anggota pasukan dari pelbagai agensi yang bertungkus lumus sejak Mei sehinggalah PADU dapat diluncurkan secara rasmi minggu depan.
“Saya berdoa kewujudan PADU akan membawa perubahan besar kepada khidmat awam daripada kerajaan kepada rakyat.
“Memang pasukan teras yang mengusahakan PADU akan terus berdepan dengan cabaran, tetapi jika ada pujian mengenai PADU, pujian itu layaknya kepada penjawat awam,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, PADU akan dibuka selama tiga bulan untuk semua warga negara mengesahkan dan mengemaskini data sosio-ekonomi mereka selepas dilancarkan Selasa depan.
Katanya, walaupun kebanyakan info seperti maklumat peribadi, pendapatan, kenderaan, anak dan tanggungan sudah tersedia, namun ia perlu disahkan dan dikemaskinikan untuk memastikan data kerajaan itu berlaku adil kepada rakyat.
Katanya, ini kerana data dari PADU akan digunakan untuk menyasarkan subsidi kepada golongan yang layak kelak.
“Oleh itu, proses membina PADU ini melibatkan pembangunan sistem data yang paling besar pernah dibuat oleh sektor awam (mungkin juga paling besar dalam sejarah negara kita).
“Ia melibatkan berpuluh perincian data (nama, umur, jantina, isi rumah dan lain-lain) bagi setiap dari 32 juta rakyat Malaysia yang membentuk ratusan juta titik data (data points) di dalam PADU,” jelasnya. – UTUSAN