Pelajar universiti, kolej merungut sewa rumah mahal

Pelajar universiti, kolej merungut sewa rumah mahal

Pelajar universiti dan kolej merugut dakwa sewa rumah mahal. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahasiswa dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) mengeluh kerana terpaksa membayar komitmen sewa rumah yang mahal selain kos sara hidup tinggi terutama mahasiswa di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang.

Mahasiswa tidak bernasib baik terpaksa menyewa di luar kampus dengan kadar sewa rumah RM1,700 sehingga RM2,000 sebulan. Bagi membolehkan membayar deposit dan sewa rumah mereka terpaksa berkongsi sesebuah rumah tiga bilik sehingga 10 orang.

Di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini, Nur Hanee Athirah Zaidi, 23, berkata, dia menyewa di rumah studio kecil yang jaraknya lapan kilometer dari kampus dan mengambil masa sekurang-kurangnya 40 minit jika jalan sesak kerana tidak dapat penempatan di kolej.

Katanya, dengan harga sewa bulanan RM1,600 tidak termasuk bil utiliti, dia terpaksa berbahagi bersama enam orang rakannya bagi mengurangkan beban kos bulanan yang mencecah RM400 termasuk sewa tempat letak kenderaan bulanan yang berharga RM80 di rumah flat tersebut.

“Kalau duduk kolej lagi jimat sebab tidak perlu bayar duit pengangkutan, kos kolej, bil air dan api pun lebih murah,” katanya.

TERPAKSA

Seorang pelajar komunikasi media baharu, Imran Khaliq Mohd. Khairizal, 23, berkata, dia terpaksa berkongsi rumah sewa beramai-ramai bagi mengurangkan bayaran sewa bulanan yang didiaminya.

Katanya, dia tidak mempunyai masalah untuk menetap di rumah berkenaan, namun, tidak selesa kerana kedudukan rumahnya dalam persekitaran yang kotor tetapi mereka tiada pilihan.

“Di sini, boleh kira berbaloi sebab dekat dengan kampus walaupun persekitarannya agak kotor sebab itu saja rumah yang ada pada ketika itu. Saya dan rakan-rakan tidak mempunyai pilihan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang mahu dikenali sebagai Aziemah, 21 berkata, proses untuk mendapatkan rumah sewa di sekitar UiTM agak sukar baginya kerana dia berasal dari Tawau, Sabah.

“Saya disahkan tidak mendapat tempat di kolej beberapa hari sebelum semester bermula dan ia amat menyukarkan saya yang tidak pernah menyewa serta tahu selok belok di sani,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas dibantu beberapa rakan akhirnya dia berkongsi dengan beberapa pelajar lain menyewa di sebuah rumah flat.

MENYEWA

Dalam pada itu, seorang pelajar jurusan penerbitan, Jasmine Athirah Raihanah Jaharulnizam, 23, berkata, dia bernasib baik kerana dapat menyewa berhampiran di rumah yang penuh dengan kelengkapan dapur, penapis air dan WiFi serta fasiliti awam lain seperti bas, kedai runcit dan kedai makan.

Katanya, dia berkongsi dengan dua rakan lain dengan harga RM230 sebulan untuk seorang tidak termasuk bil lain.

“Mungkin rasa susah sikit sebab kena bayar sewa rumah setiap bulan walaupun cuti semester, kalau duduk kolej bayar per semester terus,” katanya.

Sementara itu, pelajar sebuah kolej swasta di Subang Jaya yang mahu dikenali sebagai Pei Yin berkata, dia tidak menyangka kos menyewa rumah di kawasan kolej tidak masuk akal.

Gadis yang belajar dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan berasal dari Kedah itu berkata, untuk menyewa satu bilik dia perlu membayar deposit tiga bulan dan sewa bulanan RM900 tanpa bil untiliti.

Katanya, dia yang tiada pilihan terpaksa berkongsi dengan seorang rakan untuk membayar sewa bilik yang tidak sebesar mana.

SERIK

“Saya juga sangat serik dengan butiran perjanjian yang hampir semua tidak memihak kepada kami apabila mahu keluar rumah.

“Contoh yang saya lalui, tilam terconteng dakwat pen menyebabkan saya terpaksa mengantikan tilam tersebut,” ceritanya yang menyifatkan pemilik rumah di Subang Jaya terlalu `tamak’.

Menurut Pei Yin, bagi menampung sewa bilik dan kos makan minum dia bekerja sebagai pembancuh air di kawasan berhampiran kediamannya selepas waktu kuliah.

Rakannya, Tamarin dari Ipoh berkata, dia tidak mengetahui sama ada mampu menghabiskan pengajian diploma untuk tempoh dua tahun lagi kerana terbeban dengan harga sewa bilik.

Katanya, keluarganya terkejut apabila terpaksa menambah duit untuk membayar sewa bilik sekitar RM480 sebulan.

“Sebelum belajar di sebuah kolej di sini, keluarga saya hanya bersedia untuk menanggung kos pengajian saya dalam bidang grafik dan mereka terkejut apabila terpaksa mengeluar kos sewa rumah yang pada kami sangat mahal di Subang Jaya,” ceritanya.

Sementara itu, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Yang diPertua Majlis perwakilannya, Badrul Alif Naqiuddin Badrulzaman berkata, mahasiswa di universiti itu terpaksa membayar sewa rumah antara RM600 hingga RM700 sebulan.

“Pihak universiti sepatutnya memikirkan satu penyelesaian di mana mereka perlu membina atau membangunkan satu penempatan pelajar baharu yang mampu untuk menampung keperluan pelajar pada satu-satu masa,” katanya.

Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pula, yang dipertua majlis perwakilan pelajarnya, Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin berkata, harga rumah sewa yang kian meningkat menyebabkan mahasiswa terpaksa berkongsi untuk mengurangkan komitmen bulanan.

“Kerajaan dicadangkan mewujudkan satu dasar yang meletakkan harga siling rumah sewa bagi mahasiswa untuk tawaran timbal balik dan faedah kepada penyewa dengan memberi pelepasan cukai sebagainya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN