Operasi pasar basah KipMall Tampoi 'terjejas', 114 PATI ditahan - Utusan Malaysia

Operasi pasar basah KipMall Tampoi ‘terjejas’, 114 PATI ditahan

SERAMAI 114 PATI yang bekerja di pasar basah KipMall Tampoi, Johor Bahru ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Operasi pasar basah di KipMall Tampoi, di sini ‘terjejas’ apabila seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di situ dicekup Jabatan Imigresen negeri ini.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 51 lelaki Myanmar, 34 lelaki dan lapan wanita Indonesia, 10 lelaki Bangladesh, lapan lelaki Nepal dan tiga lelaki India berusia antara 19 hingga 58 tahun.

“Serbuan menerusi Ops Belanja dan Ops Selera itu dijalankan pada pukul 11.30 pagi  Jumaat lalu oleh seramai 90 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa Negeri, pegawai Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Operasi ini hasil risikan selama seminggu setelah kami menerima aduan awam tentang kewujudan warga asing yang bekerja tanpa permit atau pas sah di premis tersebut. Seramai 228 warga asing serta warga tempatan diperiksa, manakala 114 daripada mereka ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baharuddin berkata, semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), iaitu gagal megemukakan dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas ditetapkan.

“Kesemua tahanan telah ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya sambil meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

Beliau turut menyeru warga asing untuk merebut peluang menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang akan tamat pada 31 Disember ini.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap PATI serta majikan yang masih berdegil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya