IPOH: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh semalam atas pertuduhan membunuh seorang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kejadian Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Nazri yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi bersama Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong.
Terdahulu, Azlina memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan-laporan lain termasuk laporan kimia sebelum mahkamah menetapkan 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes.
Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh dan Nazri dihantar ke Penjara Taiping.
TERKAWAL
Terdahulu, puluhan anggota polis mengawal sekitar pekarangan mahkamah dan keadaan terkawal. Polis menafikan tindakan itu sebagai double standard sebaliknya mahu memastikan perjalanan kes yang menarik perhatian ramai berlangsung secara aman.
Kelmarin, Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan memaklumkan pegawai polis terbabit bakal dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh dengan pihaknya mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk mendakwa suspek atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian Jumaat lalu sekitar pukul 12.30 tengah hari, seorang calon SPM maut selepas dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta jenis Perodua Ativa didakwa dipandu seorang pegawai polis. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.
Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Kejadian tersebut tular di media sosial dan mendapat simpati orang awam yang memberi sokongan kepada keluarga pelajar terbabit.
Susulan itu, pegawai polis berkenaan ditahan reman tiga hari bermula Sabtu sebelum semalam didakwa di mahkamah.
MERAYU
Selepas kes tersebut dibawa ke mahkamah, abang kepada mangsa, Zarul Fitri, 29, merayu semua pihak berhenti menyebarkan gambar dan video tragedi berkenaan.
Zarul berkata, perkongsian memaparkan detik-detik akhir adiknya itu amat mengganggu emosi mereka sekeluarga.
“Saya minta belas ihsan semua yang ada kongsikan video Zaharif sedang nazak di media sosial untuk turunkan (padam) video tersebut.
“Video berkenaan mengganggu emosi kami sekeluarga yang kini semakin stabil. Apabila lihat rakaman itu, ia membuatkan kami yang masih trauma ini ingat semula kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa di Chemor di sini semalam.
Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, pula berkata, hatinya kini tenang apabila individu yang bertanggungjawab itu dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Jiwa saya sudah tenang apabila tahu dia (tertuduh) dituduh di bawah seksyen (302 Kanun Keseksaan),” katanya.
Menurut pesara tentera itu, dia dan keluarga menerima banyak sokongan ramai yang meminta mereka agar kuat dan tabah menerima insiden menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.
“Satu Malaysia beri sokongan kepada kami. Banyak pesanan yang saya dan anak-anak terima meminta kami untuk tenang. Alhamdulillah, buat masa ini kami tenang.
“Zaharif meninggal dunia dengan cara yang betul-betul saya reda kerana pemergian dia mengikat ukhwah kita satu Malaysia,” katanya. – UTUSAN










