KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesan ada dalam kalangan peniaga tempatan di negeri ini sanggup ‘Ali baba’ lesen mereka kepada warga asing bagi membolehkan kumpulan tersebut menjalankan perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan warga asing itu mempunyai lesen perniagaan yang sah menggunakan nama isteri rakyat tempatan.
Menurutnya, warga asing sanggup berkahwin dengan wanita tempatan semata-mata untuk mendapatkan lesen.
“Kerajaan melalui Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan di negeri ini.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, ramai warga asing menjalankan perniagaan mereka di sekitar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI) Kelantan 2035 (Penggantian) di Dewan MDK-PI di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu memberitahu, pihaknya memohon kerjasama daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk melakukan pemantauan secara berkala bagi mengenalpasti warga asing yang terlibat.
Katanya, kesedaran daripada warga tempatan juga perlu bagi mengelak diambil kesempatan oleh warga asing untuk kepentingan diri mereka.
“PBT hanya boleh mengambil tindakan untuk kesalahan berkaitan lesen perniagaan sahaja, namun perkara yang berkaitan perlanggaran permit dan sebagainya yang melibatkan warga asing adalah di bawah bidang kuasa JIM.
“Jadi kita meminta pihak JIM supaya sentiasa membuat pemantauan berkala di premis-premis perniagaan yang melibatkan warga asing,”katanya.-UTUSAN










