Kejohanan Badminton Remaja dan Pahang Tertutup 2023 capai matlamat - Tengku Aidy - Utusan Malaysia

Kejohanan Badminton Remaja dan Pahang Tertutup 2023 capai matlamat – Tengku Aidy

TENGKU Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah (kiri) dan Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail bergambar bersama pasukan beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja dan Tertutup Pahang 2023 di Dewan Persatuan Badminton Pahang, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kejohanan Badminton Remaja dan Pahang Tertutup 2023 yang diadakan selama enam hari berakhir semalam berjaya mencapai matlamatnya bagi meningkatkan skil dan prestasi pemain serta menjadi kayu ukur terbaik menilai pencapaian setiap peserta bertanding.

Presiden Persatuan Badminton Pahang, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail berkata, beliau gembira melihat keterujaan dan semangat juang pemain khususnya remaja dalam kejohanan tersebut.

“Semua pemain termasuk kategori veteran saya lihat begitu menikmati dan teruja dengan pertandingan kali ini, nampak semangat juang mereka dalam setiap perlawanan.

“Memang setiap pertandingan ada menang dan kalah, tetapi pihak persatuan boleh lihat kejohanan ini dihargai oleh setiap pemain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

TENGKU Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah menyampaikan hadiah kepada pemenang acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja dan Tertutup Pahang 2023 di Dewan Persatuan Badminton Pahang, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF

Mengulas lanjut, Tengku Aidy berkata, tinjauannya mendapati setiap pemain khususnya remaja begitu bersemangat dan mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan.

“Kita lihat bukan sahaja peserta bersemangat malah ibu bapa mereka juga gembira dan begitu bersemangat menyokong anak mereka,” katanya.

Beliau menjunjung kasih atas kehadiran Penaung Diraja Persatuan Badminton Negeri Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah menyampaikan hadiah kejohanan itu.

“Pihak persatuan juga berterima kasih kepada para-para penyumbang Kejohanan Badminton Remaja dan Tertutup Pahang 2023 kali ini.

“Ia merupakan acara atau kejohanan yang terbaik dari sebelum ini dan tersusun dengan baik,” katanya.

Berhubung kejohanan itu, beliau berkata, seramai 800 pemain menyertai kejohanan ini yang diadakan di Dewan Persatuan Badminton Pahang di sini.

Beliau berkata, kejohanan itu membabitkan 26 kategori iaitu 16 remaja dan 10 dewasa dan veteran yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM28,000.

“Kejohanan ini melibatkan kategori remaja bermula pada usia 10 tahun sehingga 16 tahun. Ia juga melihatkan kategori dewasa dan veteran berusia 50 tahun,” katanya.

Beliau berkata, hadiah tempat pertama berbeza mengikut kategori dengan paling rendah RM200 (perseorangan), RM400 (beregu), RM500 (terbuka perseorangan) dan RM800 (terbuka beregu).

“Beregu lelaki dan beregu campuran hadiah juara RM1,000. Bagi kategori veteran dan super veteran, hadiah ditawarkan bermula RM500 (perseorangan), RM800 (beregu veteran),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya