Graduan Uganda bangga belajar bahasa Melayu

Graduan Uganda bangga belajar bahasa Melayu

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah (PHD) kepada Kakaire Abdu pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah ke-16 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Graduan dari Uganda, Kakaire Abdu, 48, bangga bukan sahaja kerana dapat melanjutkan pe­ngajian peringkat doktor falsafah (PhD) di negara ini tetapi juga belajar bahasa Malaysia.

Kakaire yang berada di Kuala Kangsar hampir dua tahun sebagai sebahagian daripada pengajiannya berkata, dia seronok semasa tinggal di bandar ini ke­rana layanan masyarakat setempat dan pilihan makanan yang sedap.

“Di Kuala Kangsar, masyarakat dan makanan di sini sangat menarik. Saya juga belajar bercakap bahasa Melayu. Saya sangat gembira kerana hari ini mendapat PhD,” katanya.

Beliau merupakan antara empat graduan PhD antarabangsa diraikan dalam majlis Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di sini semalam, yang dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan berkenan menyampaikan anugerah kepada para penerima.

Tiga lagi graduan antarabangsa PhD yang turut diraikan dalam majlis konvokesyen itu ialah dua dari Uganda dan seorang dari Thailand.

Kakaire mendapat PhD Pengurusan dengan menghasilkan tesis bertajuk Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Komitmen Staf Akademik Di Institusi Pengajian Tinggi Di Uganda.

Beliau yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak berkata, sepanjang pengajian dirinya turut berulang-alik ke negara asalnya untuk menghasilkan tesis tersebut.

Beliau bersyukur kerana tenaga pe­ngajar memberi panduan yang sangat baik untuk membolehkan beliau menghabiskan pengajian.

“Ilmu yang diterima daripada pe­ngajian ini akan digunakan saya untuk memberi khidmat kepada pembangunan negara saya,” katanya yang gembira apabila penganugerahan PhD itu disampaikan oleh Sultan Nazrin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN