600 tahun Perlembagaan Melayu-Islam di alam Melayu - Utusan Malaysia

600 tahun Perlembagaan Melayu-Islam di alam Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SELAMA ini ramai beranggapan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia hanya bermula selepas merdeka.

Namun, hasil penyelidikan TENGKU AMPUAN PAHANG, TUNKU AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH terhadap Hukum Kanun Pahang membawa kepada tafsiran yang berbeza.

Daripada sekadar ingin mengkaji peralihan kuasa raja, kajian tersebut akhirnya membawa kepada kesimpulan alam Melayu sebenarnya telah memiliki sebuah perlembagaan sejak lebih 600 tahun lalu.

Dalam temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, Tunku Azizah berkongsi bagaimana penemuan itu mengubah keseluruhan arah penyelidikan dan kefahaman terhadap sejarah pemerintahan Melayu.

Temu bual ini turut disertai jurufoto FAUZI BAHARUDIN dan juruvideo, ERNI NADIA.

ANDAIAN TIDAK TEPAT
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Tuanku terfikir menulis tentang perlembagaan untuk tesis sarjana?
TUNKU AZIZAH: Saya memang gemar membaca perlembagaan, termasuk semua Perlembagaan Negeri di Malaysia, walaupun mungkin ramai tidak mengetahuinya. Di peringkat antarabangsa, saya pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Wanita Luar Bandar Sedunia (ACWW).

Ketika menganggotai Lembaga Dunia di England, saya antara empat individu dipertanggungjawabkan menyemak dan menulis semula perlembagaan baharu ACWW mengikut keperluan undang-undang syarikat. Sebelum itu, saya terlibat dalam penyediaan Perlembagaan baharu Persatuan Pandu Puteri Malaysia berasaskan model Persatuan Sedunia Pandu Puteri dan Pengakap Puteri (WAGGGS).

Semasa menjadi Timbalan Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, saya sendiri membentangkan perlembagaan baharu tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Sabah.

Selain itu, setiap kali Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ingin mendapatkan kepastian mengenai sesuatu perkara berkaitan perlembagaan, baginda sering meminta saya menyemaknya.

Sebab itu, di sisi katil saya sentiasa tersedia naskhah Perlembagaan Negeri dan saya membacanya satu persatu. Boleh dikatakan saya hampir menghafal semua peruntukan berkaitan institusi raja-raja. Daripada situ lahir minat saya terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (UTKP) 1948. Pada pandangan saya, undang-undang tubuh inilah yang menjadi punca kuasa kepada adat istiadat Pahang, walaupun maksud adat istiadat tidak dihuraikan secara terperinci.

Dengan perkenan tuanku sultan, saya mula mendokumentasikan adat istiadat Pahang dan penyelia turut bersetuju menjadikannya sebagai sebahagian daripada kajian. Kemudian, ketika berbincang mengenai adat istiadat di Muzium Kuantan, saya terlihat sebuah naskhah besar Hukum Kanun Pahang di atas meja. Saya terus bercadang menjadikannya asas penyelidikan tesis.

Pada ketika itu, saya ingin mengkaji peralihan daripada sistem Pemerintahan Beraja Mutlak kepada Sistem Raja Berperlembagaan kerana saya beranggapan Malaysia hanya beralih kepada sistem tersebut selepas merdeka. Namun, ketika membuat persiapan pembentangan, saya membaca semula Hukum Kanun Pahang dari awal hingga akhir. Ketika itulah saya menghubungi Prof. Datuk

Dr. Murad Merican dan berkata, “Saya rasa saya silap.” Saya bertanya kepadanya, “Bukankah Hukum Kanun ini sebenarnya sebuah perlembagaan? Di dalamnya sudah terkandung pelbagai undang-undang.” Pada saat itulah saya menyedari andaian saya selama ini tidak tepat.

‘SAYA EMOSIONAL DAN MENANGIS’
Tuanku pernah menyatakan Hukum Kanun Pahang sebenarnya merupakan sebuah perlembagaan. Bagaimanakah Tuanku sampai kepada kesimpulan tersebut dan apakah implikasinya terhadap pemahaman kita tentang sejarah Raja Berperlembagaan di alam Melayu?
Hakikatnya, Hukum Kanun Pahang sendiri merupakan sebuah perlembagaan. Ini bermakna kita bukanlah sebuah negara yang hanya mula mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan pada 1957.

Apabila menyedari perkara itu, saya segera memaklumkannya kepada Prof. Murad. Kesimpulan baharu tersebut mengubah keseluruhan pendekatan kajian sehingga saya terpaksa menulis semula tesis dan membentangkan semula cadangan penyelidikan. Tajuk kajian juga ditukar kepada Hukum Kanun Pahang: A Sovereign Malay Islamic Constitution.

Sejak hari itu, saya tidak pernah mengubah pendirian Hukum Kanun Pahang adalah sebuah perlembagaan. Saya tidak pasti sama ada saya orang pertama melihatnya dari sudut itu, tetapi jika tafsiran ini benar, kesannya amat besar. Ertinya, kita telah memiliki sebuah perlembagaan lebih 600 tahun lalu, sejak zaman Melaka apabila Parameswara memeluk Islam dan bergelar Sultan Iskandar Shah.

Saya tidak pasti tarikh tepatnya, mungkin sekitar 1395. Namun yang penting Hukum Kanun mula ditulis pada zaman tersebut. Buktinya dapat dilihat pada pelbagai naskhah Hukum Kanun yang ditemui di Riau, Brunei, Sambas, Pontianak, Johor dan wilayah lain. Hampir semuanya memulakan kandungan dengan menyebut nama Sultan Iskandar Shah.

Bagi saya, semua ini membuktikan kita mempunyai sebuah perlembagaan jauh sebelum merdeka. Cuma pada waktu itu istilah perlembagaan belum digunakan, sebaliknya dikenali sebagai kanun atau undang-undang.

Saya juga berpendapat apabila Parameswara memeluk Islam, baginda tentu dibimbing oleh para ulama dan diperkenalkan kepada Piagam Madinah.  Pada pandangan saya, Hukum Kanun Melaka berfungsi seperti Piagam Madinah, iaitu sebagai undang-undang Islam yang mengatur pemerintahan sesebuah negara.

Malah, sumber-sumber sejarah ketika itu menggunakan istilah Negara Melaka dan Negara Johor, bukannya negeri seperti hari ini. Semua ini menunjukkan lebih 600 tahun lalu wujud sebuah negara Melayu Islam bertamadun di rantau ini.

Setiap kali mengkaji Hukum Kanun, saya menjadi sangat emosional. Ada kalanya saya menangis kerana setiap kali membacanya, saya sentiasa menemui penemuan baharu. Semakin mendalami kajian ini, semakin banyak perkara yang berjaya saya fahami.

MELAKA TIDAK JATUH?
Selama ini kita diajar Melaka ‘jatuh’ ke tangan Portugis pada 1511. Mengapa Tuanku berpendapat naratif itu perlu diperbetulkan?
Orang sering mengatakan ‘Kejatuhan Melaka’. Namun Prof. Murad memberitahu saya, “Melaka sebenarnya tidak pernah jatuh. Yang jatuh hanyalah Kota Melaka.”

Kata-kata itu membuatkan saya berfikir dengan mendalam. Portugis hanya menawan Kota Melaka, bukannya seluruh empayar kerajaan Melayu Melaka yang ketika itu memiliki wilayah yang sangat luas di alam Melayu. Mereka juga tidak menguasai keseluruhan wilayah tersebut, sebaliknya hanya bertapak di Kota Melaka kerana kota itu merupakan pusat perdagangan yang sangat penting. Malah, dalam catatan Barat sendiri terdapat ungkapan, “To conquer Melaka is to conquer the world.” Itulah sebabnya mereka hanya mahu menguasai Kota Melaka.

Bagi saya, Melaka sebagai sebuah tamadun dan sistem pemerintahan tidak pernah lenyap. Kesedaran itulah yang mendorong saya menulis semula tesis dan melihat Hukum Kanun Pahang sebagai kesinambungan kepada Hukum Kanun Melaka, bukannya sesuatu yang terpisah.

Kaitan Hukum Kanun Melaka?
Apabila mula mengkaji Hukum Kanun Pahang, saya mendapati bahan rujukannya amat terhad. Jika topik lain boleh dirujuk melalui 40 atau 50 buah buku, Hukum Kanun Pahang mungkin tidak disebut walaupun dalam 10 buah buku. Kalau ada pun, kebanyakannya hanya merujuk kepada Manuskrip A, B, C dan D.

Ketika saya sedang menyiapkan tesis, terbit pula sebuah buku tulisan Prof. Datuk Dr. Abdul Halim El-Muhammady yang membincangkan Hukum Kanun Pahang berdasarkan Manuskrip E. Saya tertanya-tanya dari mana datangnya Manuskrip E kerana sebelum itu saya sendiri tidak mengetahui kewujudannya.

Rupa-rupanya, Manuskrip E disimpan di Arkib Negara. Saya pergi melihatnya sendiri. Manuskrip D memang sangat indah kerana mempunyai tulisan, hiasan dan ilustrasi. Pada pandangan saya, ia mungkin merupakan salinan peribadi seorang jurutulis istana.

Namun, Manuskrip E juga lengkap. Manuskrip itu dibalut dengan kain tenun Pahang sebagai kulitnya. Lebih menarik, dalam satu jilid yang sama terdapat Hukum Kanun Melaka di bahagian hadapan dan Hukum Kanun Pahang di bahagian belakang. Kedua-duanya tidak dipisahkan.

Penemuan ini juga tidak diketahui oleh ramai sarjana Barat. Malah, sebelum Prof. Abdul Halim menghasilkan tesisnya, tidak ramai yang menyedari kewujudan manuskrip tersebut. Ketika hampir

menyiapkan tesis, saya menyangka kajian itu sudah lengkap. Pada waktu itu, Manuskrip D yang dipulihara oleh Arkib Negara telah siap pada 5 Mac 1994.

Namun, ketika penulisan tesis sedikit tertangguh, Orang Kaya Indera Pahlawan, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan datang menemui saya di perpustakaan.

Beliau bertanya, “Tidakkah Tuanku ingin melihat manuskrip Hukum Kanun Pahang yang patik sembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan?” Saya hanya mampu memandang wajah beliau dengan penuh kehairanan.

PENEMUAN MENARIK
Dan apa pula kaitan dengan Brunei?

Semasa berkunjung ke Brunei pada Januari lalu, saya membuat satu penemuan yang amat menarik. Di sana saya dimaklumkan Sultan Abdul Ghaffar berkahwin dengan Puteri Fatimah Tuzahrah, puteri kepada Sultan Saiful Rijal, dan hasil perkahwinan itu lahirlah Raja Abdullah. Saya benar-benar terdiam kerana sebelum ke Brunei, saya tidak mengetahui hubungan tersebut.

Tujuan utama saya ke sana untuk mengunjungi Pusat Sejarah Brunei bagi mendapatkan maklumat tentang Sultan Saiful Rijal, yang dianggap antara sultan teragung dalam sejarah Brunei kerana berjaya mempertahankan negarannya daripada dikuasai Sepanyol dan dikristiankan semasa Perang Kastila. Ketika berada di Pusat Sejarah Brunei, saya memaklumkan sedang mengkaji Hukum Kanun Pahang. Seorang pegawai kemudian berkata, “Kami juga mempunyai hukum kanun.” Saya benar-benar terkejut.

Apabila manuskrip itu dibawa keluar, saya mendapati kandungannya hampir sama dengan Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang. Penemuan itu menunjukkan Hukum Kanun Melaka telah sampai ke Brunei, walaupun manuskrip tersebut disalin selepas zaman Sultan Abdul Ghaffar. Hubungan kekeluargaan antara Pahang dan Brunei turut menjelaskan bagaimana warisan itu tersebar.

Anak Sultan Saiful Rijal berkahwin dengan adik-beradik Sultan Abdul Ghaffar dan daripada zuriat mereka lahirlah Sultan Muhammad Hassan, Sultan Brunei yang terkenal. Bagi saya, hal ini membuktikan salasilah Kesultanan Melaka tidak pernah terputus, sebaliknya diteruskan melalui hubungan dinasti.

Apabila saya membandingkan manuskrip Brunei dengan manuskrip Hukum Kanun Pahang, bentuk dan kandungannya hampir sama. Namun, yang paling menarik perhatian saya, corak pada kulit manuskrip Brunei. Orang Brunei menyebut motif itu sebagai Air Muleh.

Saya kemudian menunjukkan kulit manuskrip Hukum Kanun Pahang yang menggunakan motif yang sama. Mereka sendiri terdiam apabila melihat persamaan itu. Saya menjelaskan motif Air Muleh sebenarnya berasal dari Pahang. Ini membuktikan hubungan antara Pahang dan Brunei bukan sahaja melalui perundangan, malah melibatkan seni dan budaya.

Bagi saya, penemuan ini amat bermakna. Selama lebih 400 tahun, Brunei terus menggunakan motif tersebut. Namun ramai yang tidak mengetahui asal usulnya dari Pahang. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa dinamakan Air Muleh.

Mungkin berkaitan dengan pusaran air sungai memandangkan Pahang ketika itu merupakan sebuah kerajaan maritim yang mempunyai undang-undang berkaitan sungai. Walau apa pun penjelasannya, kulit manuskrip itu menjadi satu lagi bukti hubungan rapat antara kedua-dua kesultanan.

Perkahwinan diraja pada zaman dahulu bukan sekadar menyatukan dua individu tetapi turut mengukuhkan hubungan antara kerajaan. Melalui ikatan dinasti inilah terjalin persaudaraan, penyebaran warisan perundangan dan kesinambungan tamadun dalam kalangan kesultanan Melayu di seluruh Nusantara. telah lama tersusun

Ada pihak mendakwa Hukum Kanun Pahang sarat dengan adat istiadat Melayu, apa pandanagan Tuanku?

Apa yang ingin saya sampaikan kepada rakyat adalah kita telah lama memiliki asas perlembagaan dan sistem pemerintahan yang tersusun berteraskan warisan Melayu-Islam. Semua ini ditulis di bumi Melayu, oleh orang Melayu, dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi untuk Kesultanan Melayu.

Apabila meneliti Hukum Kanun Pahang, saya mendapati banyak persamaan masih kekal hingga hari ini, khususnya kedudukan raja sebagai ketua agama dan penjaga adat. Namun, lebih tertumpu kepada adat raja, bukan adat istiadat secara menyeluruh.

Contohnya, terdapat peraturan berkaitan pemakaian dan penggunaan lambang raja, termasuk tatacara membawa keris. Hingga kini, amalan tertentu masih kekal dalam adat istiadat Pahang.

Namun, ia tidak menghuraikan secara terperinci adat pertabalan atau perkahwinan seperti yang sering disangka.

Saya melihat adat dalam Hukum Kanun Pahang lebih dekat kepada konsep adab. Orang Melayu sejak dahulu diajar beradab dan bersopan dalam kehidupan seharian, yang membentuk identiti masyarakat.

Dalam masa sama, wujud kesinambungan antara Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang dan UTKP melalui peranan nasihat kepada raja oleh institusi tertentu. Kesemua ini menunjukkan sistem pemerintahan Melayu telah lama tersusun dan berasaskan undang-undang, adab, agama dan institusi diraja.

SALASILAH KESULTANAN
Apa pula kaitan Hukum Kanun Pahang dengan salasilah Johor, Perak, Selangor dan Terengganu?
Bagi saya, sejarah Kesultanan Pahang lebih jelas apabila dilihat melalui kesinambungan empat dinasti pemerintahnya.

Dinasti pertama adalah Kesultanan Melaka. Dinasti kedua bermula apabila Sultan Muhammad dihantar ke Pahang, manakala dinasti ketiga lahir selepas pemerintahan Sultan Alauddin apabila kuasa beralih kepada dinasti Johor–Pahang–Riau–Lingga. Selepas termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Johor, Pahang dan Riau-Lingga dipisahkan.

Peristiwa itu melahirkan dinasti keempat, iaitu Dinasti Bendahara yang bermula dengan pertabalan Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah sebagai Sultan Pahang. Salasilah ini juga menunjukkan hubungan erat antara kesultanan Melayu. Sultan Abdul Jalil, misalnya, mempunyai zuriat yang kemudiannya menjadi pemerintah di beberapa negeri.

Putera baginda, Sultan Zainal Abidin, menjadi Sultan Terengganu yang pertama, manakala puterinya berkahwin dengan Daeng Chelak atau Raja Lumu yang kemudiannya menjadi Sultan Selangor pertama.

Sebab itulah saya sering mengatakan salasilah Kesultanan Selangor merupakan gabungan keturunan Bugis, Pahang dan Johor. Seorang lagi puteri baginda, Tengku Kamariah, pula berkahwin dengan Raja Kecil yang menurut sejarah bertanggungjawab menghantar orang untuk membunuh Sultan Abdul Jalil.

Daripada keturunan Sultan Abdul Jalil juga lahir kesinambungan pemerintahan Bendahara. Sebahagian zuriatnya menjadi Temenggung Johor, manakala sebahagian lagi menjadi Bendahara Pahang.

Saya sendiri mempunyai pertalian dengan kedua-dua keturunan tersebut. Keturunan saya berasal daripada Temenggung Johor, manakala suami saya daripada Bendahara Pahang.

Melalui perkahwinan kami, hubungan kekeluargaan Johor dan Pahang kembali bertaut, manakala anak kami, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, mewarisi salasilah Sultan Abdul Jalil daripada kedua-dua belah keluarga.

Semakin saya menyelidik, semakin jelas sejarah kesultanan Melayu saling berkait melalui jaringan perkahwinan diraja, kesinambungan keturunan dan perpindahan pemerintahan.
Hubungan inilah yang memastikan warisan politik, perundangan dan budaya Melayu terus berkembang dari satu kesultanan ke satu kesultanan yang lain. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN