PETALING JAYA: Isu lambakan penceramah tanpa tauliah yang aktif menyebarkan kandungan agama di media sosial perlukan pendekatan yang lebih menyeluruh berbanding hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang tauliah semata-mata.
Pengarah Pusat Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Redwan Yasin berkata, cabaran utama pihak berkuasa agama kini adalah kesukaran mengawal selia aktiviti dakwah menerusi platform digital yang beroperasi tanpa sempadan,
Sedangkan katanya, tauliah mengajar agama diperuntukkan mengikut bidang kuasa negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Individu yang tidak mempunyai tauliah di sesebuah negeri masih boleh berceramah secara dalam talian yang boleh diakses masyarakat di seluruh negara.
“Isu utama adalah menentukan sama ada penyampaian itu memenuhi elemen kesalahan di bawah enakmen negeri berkenaan termasuk soal tempat berlakunya kesalahan dan bidang kuasa mahkamah,” katanya.
Menurut Redwan, satu mekanisme penyelarasan di peringkat kebangsaan menerusi institusi sedia ada seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri perlu diwujudkan bagi membangunkan garis panduan bersama, piawaian etika dakwah digital serta pangkalan data tauliah.
“Keperluannya lebih kepada penyelarasan bukan mengambil alih kuasa negeri. Pendekatan ini menghormati autonomi negeri. Namun pada masa sama meningkatkan keseragaman menangani cabaran dakwah era digital,” katanya.
Kata Redwan, terdapat kesan seperti risiko hakisan autoriti ilmu yang boleh menjejaskan keyakinan umat Islam terhadap ketulenan dakwah yang disampaikan, sekali gus mencetuskan kekeliruan hukum dalam masyarakat.
Namun beliau menegaskan tidak semua individu tanpa tauliah menyebarkan ajaran yang salah kerana sesuatu kandungan hanya boleh dianggap menyeleweng selepas dinilai berdasar kesahihan fakta, hukum syarak dan peruntukan undang-undang berkaitan.
Sementara itu, Pakar Pemikiran dan Etika Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof .Madya Dr Khalif Muammar A. Harris berkata, isu pendakwah jadian sebarkan ajaran sesat tidak boleh dilihat sebagai isu tauliah semata-mata sebaliknya perlu ditangani secara menyeluruh.
Katanya, tauliah bersifat terhad kerana ia tidak dapat dikenakan ke atas yang mengajar di media sosial dari luar negara justeru mewajibkan tauliah kepada semua pendakwah media sosial dilihat tidak praktikal memandangkan platform itu hampir mustahil dibatasi.
“Kerajaan dan masyarakat perlu sedar kita menghadapi masalah yang lebih serius. Pemerkasaan undang-undang bukanlah segala-galanya.
“Oleh itu, tiga langkah utama yang boleh dicadangkan adalah seperti memperkasakan badan dakwah seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran penyampaian dalam kalangan asatizah dan menyokong institusi ilmu berwibawa sebagai rujukan masyarakat, ” katanya. – UTUSAN










