PETALING JAYA: Kerajaan perlu meneliti satu bentuk mekanisme sesuai atau undang-undang baharu bagi menggantikan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang dimansuhkan oleh Mahkamah Persekutuan minggu lalu, bagi memelihara institusi perkahwinan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan mahkamah itu menimbulkan polemik mengenai isu kesamarataan jantina dengan isu meraikan kemurnian dan keutamaan institusi keluarga.
Menurut beliau, ini kerana Seksyen 498 itu mempunyai rasionalnya tersendiri dan pemansuhannya dilihat mewujudkan satu kelompangan dalam salah satu mekanisme melindungi keutuhan dan kemurnian institusi perkahwinan.
DISKRIMINASI
“Apa yang saya faham keputusan mahkamah ialah tidak boleh untuk mewujudkan peruntukan yang serupa walaupun dengan memasukkan peruntukan yang tidak mendiskriminasi antara jantina.
“Sebab menurut kata mahkamah (Seksyen 498) tidak lagi sesuai dan lapuk. Jadi tidak lagi sesuai untuk zaman emansipasi wanita jadi keutamaan atau ia tidak lagi selari dengan kesaksamaan antara jantina masa kini.
“Mungkin boleh difikirkan undang-undang yang membenarkan suami atau isteri yang dianiaya akibat tindakan orang ketiga untuk mendapat ganti rugi khas kerana rumah tangga yang runtuh akibat perbuatan orang ketiga,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.
Seksyen 498 melanggar hak wanita bagi kesaksamaan di sisi undang-undang kerana ia hanya memberikan hak kepada suami untuk memulakan prosiding jenayah terhadap individu yang mengganggu rumah tangganya.
ENAKMEN JENAYAH
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, keputusan mahkamah perlu juga dilihat dari sudut undang-undang Islam kerana dalam enakmen jenayah negeri-negeri juga ada peruntukan seperti Seksyen 498.
“Kemungkinan peruntukan enakmen tersebut mungkin dipertikaikan kerana ia bertentangan dengan kesaksamaan jantina,” katanya.
Sementara itu, Ketua Program Undang-Undang dan Syariah, Fakulti Syariah undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, jika mahu kaitkan tindakan menggoda isteri orang itu sebagai satu kesalahan, maka perlu dikaitkan dengan melihat kepada kesan tindakan tersebut.
“Contohnya, jika isteri orang digoda sehingga menyebabkan hubungan seksual, maka ia dikategorikan sebagai satu kesalahan rogol dalam undang-undang.
“Kalau akhirnya membawa kepada penceraian, maka boleh merujuk kepada akta undang-undang Islam di peringkat Wilayah Persekutuan atau Negeri.
“Jadi, jika merujuk kepada boleh atau tidak apa-apa tuntutan ganti rugi, buat masa ini tuntutan itu boleh dibuat kepada bekas isteri atau suami dalam bentuk nafkah selepas cerai,” katanya. – UTUSAN










