Dunia hilang sifat kemanusiaan biarkan rakyat Palestin dibunuh - Utusan Malaysia

Dunia hilang sifat kemanusiaan biarkan rakyat Palestin dibunuh

Pengasas dan Pengarah Institut Madina di Atlanta, Amerika Syarikat (AS), Muhammad Yahya Al-Ninowy
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dunia dan seluruh masyarakatnya sudah hilang nilai kemanusiaan selepas terus gagal menghentikan kezaliman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas dan Pengarah Institut Madina di Atlanta, Amerika Syarikat (AS), Muhammad Yahya Al-Ninowy berkata, penderitaan dan pembunuhan penduduk Palestin tapan mengira umur adalah isu kemanusiaan melangkaui aspek agama semata-mata.

Menurut beliau, masyarakat antarabangsa perlu sedar kekejaman tersebut bukan hanya memberi kesan kepada rakyat Palestin yang dibom atau kanak-kanak yang mati dibunuh, tetapi turut memberi kesan kepada nilai kemanusiaan seluruh individu di dunia.

“Saya melihatnya dari perspektif kemanusiaan semata-mata. Kehilangan seorang anak dan bayi setiap hari itu terlalu ramai. Kita tidak boleh meletakkan harga untuk kehilangan nyawa manusia terutamanya yang berterusan (seperti di Gaza).

“Bagi saya, seluruh dunia telah kalah (dengan nilai kemanusiaan). Semua orang kalah. Saya tidak rasa saya boleh katakan kita sudah melakukan (usaha) dengan cukup kerana kita masih kehilangan nyawa yang tidak bersalah setiap malam dan itu menunjukkan kita tidak melakukan (usaha) secukupnya,” katanya ketika ditemui semalam.

DOKTOR

Muhammad adalah seorang cendekiawan serta doktor perubatan Islam AS kelahiran Syria. Beliau disenaraikan antara 500 Muslim Paling Berpengaruh oleh sebuah pusat kajian dari Amman, Jordan.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Perak berkata, Malaysia mengambil pendirian sewajarnya dalam mengecam keganasan di Semenanjung Gaza.

Pada masa sama, beliau berkata, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai.

“Jika kita gagal melihat penderitaan sesama manusia, maka kita bukan sahaja mengkhianati keimanan kita, tetapi kita gagal dalam ujian di zaman kita.

“Islam mengajar bahawa jika kita gagal untuk mengenal pasti penderitaan mana-mana makhluk walaupun ia haiwan atau pokok, maka kita hilang nilai kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai ahli politik dilabel menunggang agama, Muhammad berkata, tindakan tersebut boleh mempengaruhi keharmonian serta kestabilan negara-negara terutama yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.

Seperti Malaysia, jika pemimpin politiknya ‘menunggang’ agama amalan tersebut boleh menggugat langkah Malaysia untuk terus maju dalam membina negara serta menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun.

Muhammad menyifatkan, seseorang individu itu sebagai tamak dan dengki sekiranya menunggang agama bagi mencapai agenda politik.

“Agama (Islam) dipersalahkan kerana ekstremisme, (tetapi) yang salah adalah ketamakan dan hasad dengki yang menyebabkan orang menggerakkan agama supaya mereka boleh mencapai matlamat politik,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN