PETALING JAYA: Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) mendirikan lapan khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara sebagai simbolik terhadap penderitaan rakyat Palestin yang kehilangan rumah dan terpaksa berteduh di dalam khemah akibat dibedil rejim Zionis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap sekretariat itu, Tian Chua berkata, khemah berkenaan didirikan kira-kira 300 meter dari Kedutaan AS selepas dihalang oleh polis kerana dibimbangi mengganggu laluan lalu-lintas.
Menurut beliau, beberapa peserta piket ‘Kepung Demi Palestin’ akan tidur di dalam khemah tersebut setiap hari sehingga perhimpunan aman itu tamat.
KEPUNG
“Kita gunakan istilah ‘kepung’ untuk berkumpul berhampiran Kedutaan AS kerana mahu mengingatkan dunia dan negara bahawa Gaza kini sedang dikepung yang mana bekalan makanan, minuman dan keperluan tidak dapat disalurkan kerana dihalang Israel.
“Khemah-khemah yang didirikan juga sebagai satu tanda peringatan bahawa rakyat Palestin kini kehilangan rumah selepas kediaman mereka hancur musnah dibom oleh Israel. Selain daripada protes dan tekanan terhadap AS, ia juga sebagai peringatan serta penyebaran informasi,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, SSP dengan sokongan 63 organisasi termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang menganjurkan Kepung Demi Palestin di hadapan Kedutaan AS bermula Selasa lalu sehingga Ahad ini bagi menuntut gencatan senjata dalam konflik di Gaza.
Mengulas lanjut, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu itu berkata, ada cadangan pihak berkuasa supaya kempen solidariti tersebut tidak dilakukan selama lima hari dan hanya menyerahkan memo dan bersurai sepertimana perhimpunan solidariti yang dilakukan sebelum ini.
PANDANGAN
“Tujuan kita adalah untuk menyampaikan pandangan rakyat Malaysia mengenai penindasan yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Israel kali ini bukan serang dan berhenti tetapi mereka sudah kepung Gaza sejak 7 Oktober lagi.
Jadi bagi saya tidak munasabah untuk minta kami bersurai selepas satu jam berhimpun.
“Jika kita lihat di negara Barat yang jelas memberi sokongan terhadap Israel, rakyat mereka memberi sokongan kepada Palestin. Mereka ‘kepung’ rumah Presiden, parlimen, Kedutaan Israel dan sebagainya.
“Tindakan kami ini konsisten dengan pendirian kerajaan Malaysia. Kita sudah sampaikan pendirian keras di pentas antarbangsa berhubung isu Palestin-Israel ini,” katanya. – UTUSAN










