PETALING JAYA: Malaysia boleh memainkan peranannya sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengaktifkan Resolusi 377 (A) Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Palestin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin berkata, Resolusi 377 (A) yang lazimnya dirujuk sebagai resolusi “Bersatu untuk Keamanan”, memainkan peranan penting dalam situasi apabila Majlis Keselamatan PBB kekurangan permuafakatan dalam kalangan lima ahli tetapnya.
Pada masa sama, menurutnya, resolusi itu boleh digunakan ketika badan tersebut menjadi goyah dalam melaksanakan tanggungjawab asasnya untuk menegakkan keamanan dan keselamatan global.
“Resolusi kritikal ini memberi kuasa kepada UNGA untuk menangani krisis sedemikian dengan pantas dan mencadangkan resolusi untuk tindakan kolektif, termasuk kemungkinan campur tangan bersenjata, untuk memulihkan dan menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegasnya, terdapat keperluan mendesak untuk Malaysia sebagai anggota PBB memainkan peranan supaya Resolusi 377 (A) diaktif segera bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin genting di Semenanjung Gaza selepas Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan resolusi gencatan senjata Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, keadaan yang teruk sebegini memerlukan langkah segera dan tegas oleh semua pihak bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan melindungi nyawa rakyat Palestin tidak bersalah.
“Keadaan yang menyedihkan di Gaza menuntut campur tangan segera dan permohonan Resolusi 377 (A) boleh membuka jalan untuk tindakan bersatu dalam mengurangkan penderitaan dan memulihkan kestabilan di rantau tersebut.
“Adalah menjadi harapan Centhra agar kerajaan dapat memainkan peranan penting ke arah usaha ini dan menghimpunkan negara anggota PBB untuk memohon Resolusi 377 (A) sebagai tindak balas kepada krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Palestin,” katanya.
Tambah Azril, masyarakat antarabangsa mesti bertindak tegas dan segera untuk menegakkan prinsip teras hak asasi manusia dan menghentikan kehilangan lebih banyak lagi nyawa di Gaza.
Resolusi 377 (A) digubal pada tahun 1950 untuk menawarkan laluan alternatif agar PBB campur tangan apabila fungsi Majlis Keselamatan dihalang oleh kuasa veto walaupun oleh seorang ahli tetap.
Pada Jumaat lalu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya dalam menolak resolusi untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza ketika angka korban rakyat Palestin menjangkau lebih 17,000 orang.
Resolusi yang disokong oleh hampir 100 negara anggota Majlis Keselamatan PBB itu di tolak bulat-bulat oleh AS dengan sokongan 13 negara lain manakala sekutu rapatnya United Kingdom (UK) memilih untuk berkecuali. – UTUSAN










