PETALING JAYA: Seorang penjual kuih berbasikal digelar ‘Abang Bob’ disenangi ramai pelanggan kerana peramah selain variasi kuih jualannya disukai ramai.
Aili Shamsir, 51, dari sebuah perkampungan Minang di Greenwood itu terkenal dalam kalangan warga Gombak kerana sering menyapa sesiapa sahaja yang ditemuinya.
Sepanjang menjaja jualan, beliau sentiasa tersenyum dan tidak langsung kelihatan penat mengayuh basikal.
“Dalam perniagaan kita kena selalu tegur orang dan senyum. Budi bahasa pun kena jaga,” katanya.
Aili telah mula mengayuh basikalnya sejak berumur 15 tahun untuk menjual kira-kira 500 hingga 600 kuih, nasi lemak, kuetiau dan bihun bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Katanya, kuih yang dijual itu dibuat ibu saudaranya yang tinggal berhampiran rumahnya seperti lontong dan kuih lopes gula merah.
“Saya ada pelanggan tetap yang suka kuih yang saya jual dan mereka tunggu saya sampai,” ujarnya.
Kawasan perniagaannya menjangkau jarak sejauh 35 hingga 40 kilometer sehari, merentasi Taman Desa Minang, Taman Berjaya, Taman Gombak, Taman Gombak Ria, Taman Melewar, Taman Changkat Desa/Melewar 2, Taman Koperasi Polis 1 dan Taman Selaseh 1.
Sepanjang bulan Ramadan, Aili tidak berniaga kuih dan dia menggunakan masa itu untuk menerima tempahan rendang minang, rendang ayam serta kuah kacang.
Menurutnya, gelaran ‘Abang Bob’ diterima daripada murid Sekolah Rendah Agama A-Rasyidin semasa beliau singgah di pekarangan luar sekolah itu pada waktu rehat pukul 10.30 pagi.
“Guru besar sekolah itu yang pada mulanya memanggil saya Abang Bob dan ia melekat hingga sekarang,” katanya. – UTUSAN










