90 peratus wanita Program Wanita Bangkit berjaya bina hidup baharu - Utusan Malaysia

90 peratus wanita Program Wanita Bangkit berjaya bina hidup baharu

NANCY Shukri menyampaikan replika bantuan kepada 14 peserta mewakili setiap Parlimen di negeri ini sempena Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 90 peratus dari 8,930 wanita di seluruh negara berjaya membina kehidupan baharu melalui Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital Yayasan Kebajikan Negara (YKN) tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua wanita yang berjaya dibantu terbabit sekurang-kurang boleh menjana pendapatan antara RM1,000 sehingga RM3,000 sebulan dari perniagaan yang diuruskan.

Katanya, kebanyakkan wanita yang dibantu menerusi program itu mengalami kejatuhan kesan pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.

“Program ini bermula tahun lalu dan ia diadakan bagi membantu memperkasakan wanita kerana kebanyakkan mereka ini terkesan ketika pandemik Covid-19, tiada kerja, jadi mangsa dera dan perceraian.

“Kita memfokuskan kepada ekonomi dan kita tahu ada wanita yang tinggal di rumah yang mempunyai bakat dan ada produk tapi tiada modal bukan sahaja bagi wanita yang duduk di rumah dibantu tetapi mereka yang berniaga secara kecil-kecilan turut dibantu,” katanya dalam akhbar selepas merasmikan Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Kata Nancy, setakat ini, sejumlah RM4.26 juta diperuntukan dengan sebanyak RM500 diberikan kepada setiap peserta sebagai modal perniagaan.

“Mereka tidak hanya diberikan modal, malah mereka juga turut dipantau dan dibimbing oleh mentor mereka dan sukarelawan YKN di kawasan masing-masing.

“Kita tidak biarkan mereka begitu sahaja. Kita akan monitor dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagaimana RM500 ini dapat dijana dan berapa banyak mereka ini bertambah baik,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sasaran kementerian itu terhadap golongan wanita yang sudah mempunyai latar dalam perniagaan sekali gus menampakkan keseriusan dalam cara mereka menjalankan perniagaan.

“Dari situ kita boleh nampak kriteria yang kita lihat boleh memberi ruang untuk mereka lebih berjaya yang mana setakat ini 60 peratus dari mereka mempunyai latar belakang dalam perniagaan makanan,” katanya.

Sementara itu, berhubung kes kematian kanak-kanak perempuan berusia enam tahun disyaki didera di Cheras Sabtu lalu, Nancy berkata, pihaknya baharu sahaja menerima maklumat berkaitan kes berkenaan.

Menurutnya, kes terbabit masih dalam siasatan polis untuk tindakan dan dalam masa sama, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah menjalankan siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya