PETALING JAYA: Rejim Zionis dijangka menyerang rakyat Palestin di Gaza secara habis-habisan dengan membawa naratif untuk menghapuskan Hamas secara keseluruhannya sebaik tempoh empat hari gencatan senjata tamat.
Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian gencatan senjata dicapai antara Hamas dan rejim Zionis melalui negara perantara iaitu Qatar, Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) tempoh jeda kemanusiaan tersebut mungkin akan berlanjutan sekurang-kurangnya dua hari lagi berbanding masa sebenar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, berdasarkan perjanjian ada kemungkinan tempoh gencatan senjata ditambah kerana rejim Zionis menetapkan Hamas untuk membebaskan 10 tebusan setiap hari.
Menurutnya,berdasarkan penetapan itu, Hamas mempunyai ‘masa tambahan’ sekurang-kurangnya dua hari lagi berbanding empat hari tempoh gencatan senjata dicapai kerana jumlah tebusan dimiliki agak terhad.
“Pada masa sama, berdasarkan kenyataan jurucakap tentera Israel, rejim Zionis memerlukan sekurang-kurangnya sebulan lagi untuk menghapuskan Hamas di Gaza.
“Apa yang dimaksudkan menghapuskan Hamas itu banyak intepretasinya tetapi bagi saya ia bermaksud lebih banyak bangunan-bangunan di Semenanjung Gaza akan dibom oleh tentera rejim Zionis.
“Itulah yang dijangkakan berlaku selepas gencatan senjata tamat. Serangan rejim Zionis akan dilancarkan melalui udara, darat bahkan laut secara habis-habisan untuk memberi persepsi bahawa mereka berjaya melemahkan kekuatan Hamas atau dihapuskan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Perang Hamas-Israel yang bermula 7 Oktober lalu dihentikan empat hari bermula Jumaat lalu selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk melakukan gencatan senjata bersyarat.
Antara syaratnya adalah, Hamas membebaskan 10 tebusan Israel setiap hari manakala rejim Zionis akan membebaskan 150 tahanan rakyat Palestin khususnya wanita dan kanak-kanak, selain menghentikan operasi ketenteraan di Gaza.
MENGUASAI
Mengulas lanjut, Azmi berkata, objektif sebenar serangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza adalah sekurang-kurangnya untuk menguasai sepenuhnya utara wilayah bergolak tersebut bagi menjamin keselamatan Israel.
Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini peperangan, Azmi berkata, rejim Zionis itu sebenarnya tidak mempunyai strategi ampuh untuk menghapuskan Hamas.
“Amerika Syarikat sendiri was-was dengan strategi yang Israel gunakan untuk menguasai utara Gaza bahkan kalau kita lihat taktikal mereka hendak menghapuskan Hamas, mereka seakan-akan tidak tahu apa yang harus dilakukan.
“Sebaliknya, apa yang disasarkan adalah bangunan-bangunan di Gaza tanpa ada terjumpa markas Hamas seperti yang berlaku di Hospital Al-Shifa tempoh hari,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penduduk utara Gaza yang meninggalkan kediaman masing-masing untuk berlindung di selatan, pulang ke rumah masing-masing sempena gencatan senjata amat ditakuti pihak rejim Zionis.
“Ia adalah kerana pada hakikatnya mereka sebenarnya hendak menguasai atau menduduki utara Gaza secara ketenteraan bagi ‘menjamin’ keselamatan Israel,” katanya. – UTUSAN










