KOTA TINGGI: Tugas dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga memperkenalkan anak-anak kepada Allah dan agama Islam sudah selesai.
Isteri Allahyarham Mohd Suhaimi Saad, Nordiana Mohd. Naim berkata, suaminya itu sempat meluahkan rasa syukur kerana sempat memberi ilmu agama yang sepatutnya kepada anak-anak sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Dia juga besyukur kerana Allah mempermudahkan urusan pengebumian suaminya itu yang berjalan lancar.
“Apabila kami sembang enam beranak, dia akan pesan kepada anak-anak, abang jaga ibu ayah, ibu jaga anak-anak. Katanya, alhamdulillah tanggungjawab sebagai ayah sudah selesai kenalkan kepada Allah, al-Quran, hadis kena pegang kuat-kuat.
“Itu antara yang arwah pesan semasa dia dalam keadaan sakit. Kami juga saling meminta maaf, minta halal makan minum,” katanya ketika ditemui di Felcra Sungai Ara, di sini hari ini.
Ibu kepada empat orang anak itu akan menghabiskan tempoh idah di rumah ibu bapanya di Felcra Sungai Ara serta masih belum memikirkan perancangan untuk masa hadapan.
“Saya akan habiskan idah di rumah orang tua, selepas itu saya fikirkan apa rancangan untuk keluarga seterusnya tapi saya percaya Allah akan mudahkan urusan saya dan anak-anak,” katanya. – UTUSAN