PUTRAJAYA: Tarif air domestik di semua negeri akan disemak awal tahun depan selepas ada negeri tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun.
Semakan tersebut dijangka menyaksikan kenaikan tarif bagi menampung kos operasi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh operator yang menguruskan bekalan air di negeri-negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semakan tarif air tersebut telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri selepas ada antara negeri-negeri terbabit tidak pernah dikaji semula sehingga 40 tahun.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kenaikan itu sangat minimum.
“Semakan tarif air secara dasarnya dipersetujui semua kerajaan negeri tidak mengira parti. Bersetuju ekoran kadar semasa tidak lagi mampu menampung kos operasi.
“Kerajaan memberi jaminan kenaikan itu sangat minimum dan tidak membebankan rakyat dan keputusan tersebut bukan keputusan Pusat sepenuhnya,” kata Nik Nazmi ketika ditemui di sini kelmarin.
“Sebagai contoh, Pahang tidak menaikkan tarif airnya sejak 40 tahun lalu, malah Perlis pula sekitar 25 tahun. Bayangkan syarikat bekalan air negeri ini beroperasi di bawah kos operasi dan sampai bila mereka boleh bertahan,” kata beliau.
BERSETUJU
Nik Nazmi berkata, beliau mendapati semua kerajaan negeri bersetuju supaya tarif air domestik dinaikkan dan idea semakan semula itu bukan dari Kerajaan Pusat tetapi daripada kerajaan negeri sendiri.
Beliau berkata, kerajaan secara dasarnya membenarkan kenaikan tarif air, namun ia masih tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri, malah kadar kenaikan bagi setiap negeri juga berbeza.
“Ada negeri kadar tarifnya terlalu rendah dan terlalu lama tidak dinaikkan. Justeru, kita benarkan ruang lebih besar untuk kenaikan tetapi yang lain (negeri-negeri lain) kenaikannya pada kadar minimum.
“Ini keputusan yang kita kena ambil dan bagi saya kena ada keazaman politik untuk lakukan semua ini. Saya akan menerangkan kepada rakyat mengenai perkara ini bersama kerajaan negeri dan syarikat operator air di setiap negeri,” katanya.
Menurut beliau, semakan semula itu akan menggunakan Mekanisme Penetapan Tarif Air supaya ia lebih telus selain dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
“NRECC akan memastikan setiap negeri mematuhi had dan mekanisme penetapan tarif air itu biarpun syarikat operator air negeri berkuasa menaikkan tarif berkenaan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan berhubung purata penggunaan air bagi setiap rakyat di negara ini adalah amat tinggi iaitu sekitar 260 liter sehari berbanding 160 liter sebagaimana dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sebelum ini, Nik Nazmi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi NRECC baru-baru ini, menjelaskan penangguhan tarif air menyebabkan syarikat pengendali air mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM409 juta setahun.
Purata tarif air dikenakan kepada pengguna di Semenanjung dan Labuan ialah RM1.43 bagi setiap meter padu.
Mengambil kira pelarasan diluluskan tahun lalu oleh kerajaan sebelum ini untuk bukan domestik dan kategori khas, purata tarif dijangka meningkat kepada RM1.59 bagi setiap meter padu dan ia masih rendah. – UTUSAN










