SYDNEY: Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang berdepan hukuman mati di Malaysia kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, mendakwa dia dijadikan kambing hitam dan terperangkap dalam permainan politik.
Sirul, 52, mendakwa, dia menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan untuk ‘menutup mulut’ mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.
“Sudah bertahun-tahun orang di Malaysia tunggu tentang siapa yang beri arahan, tapi sampai sekarang, saya tidak boleh beritahu,” katanya tanpa menyatakan mengapa dia tidak dapat dedahkan identiti dalang pembunuhan tersebut.
Namun, Sirul memaklumkan, dia diberitahu oleh pegawai atasannya, Azilah Hadri bahawa mereka menjalankan ‘operasi khas’ untuk seorang ahli politik penting.
Sirul mendedahkan perkara tersebut ketika diwawancara oleh Al Jazeera English 101 East pada pagi semalam.
“Biarpun saya selamat di sini (Australia), namun masih ada usaha daripada pihak tertentu untuk mengawal saya.
Sirul berkata, dia akan meneruskan hidup di Australia dan menyatakan adalah bahaya jika dia kembali ke Malaysia.
Dia turut memohon maaf kepada keluarga Altantuya dan mendakwa tidak bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu walaupun sudah disabit kesalahan oleh mahkamah Malaysia.
“Saya merayu kepada masyarakat di sini untuk menerima saya. Saya berjanji kepada anak lelaki saya tidak sesekali akan melanggar undang-undang di sini. Saya (akan) patuh segalanya. Saya menyedari adalah sangat tidak selamat untuk kembali ke sana (Malaysia).
“Apa sahaja berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak saya di Australia. Saya berharap masyarakat Australia menerima saya seadanya. Saya bukan orang jahat,” katanya kepada saluran televisyen antarabangsa itu dalam wawancara pertama sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood, di Sydney.
Sirul berkata, pegawai polis Malaysia sudah bertemu dengannya sehari selepas dibebaskan dan memaklumkan Menteri Hal Ehwal Luar Australia ada menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia bertanya sama ada dia selamat berada di Canberra.
“Mereka memberitahu beliau saya selamat. Tapi, saya kecewa, lihat sahaja berita semuanya jahat tentang saya. Jadi, masyarakat di sini sangat, sangat takut kepada saya. (Mereka fikir) Sirul berbahaya,” ujarnya.
Australia tidak mengusir Sirul ke Malaysia memandangkan undang-undang negara itu tidak membenarkan mereka berdepan hukuman mati dikembalikan ke negara asal.
Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di hutan di Puncak Alam, Selangor. Mayatnya kemudian diledakkan menggunakan bahan letupan.
Sirul dan rakan sekerjanya, Azilah Hadri disabit pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya, yang digambarkan sebagai seorang penterjemah.
Azilah ketika ini sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.
Kedua-duanya berjaya membatalkan sabitan di Mahkamah Rayuan pada 2013, namun Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengembalikan sabitan dan menjatuhi mereka hukuman mati.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan terakhir.
Dia ditahan di pusat tahanan sejak 2015 selepas ditangkap polis Australia. Sirul memohon suaka politik di Australia, namun ditolak pada 2019. – UTUSAN










